Krisis kepimpinan PKR Sabah: Bukan salah AMK negeri – Razeef Rakimin

Krisis kepimpinan PKR Sabah: Bukan salah AMK negeri – Razeef Rakimin

Kota Kinabalu: Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Sabah membidas tindakan segelintir Ketua AMK Cabang PKR di seluruh negeri yang menyalahkan AMK negeri atas kemelut kepimpinan PKR Sabah yang berlaku ketika ini.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin, berkata AMK negeri tidak harus dipersalahkan kerana ia tidak terbabit dalam sebarang tindakan Ketua AMK Cabang yang menolak kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Katanya, AMK negeri sudah membuat keputusan tidak mencampuri krisis kepimpinan PKR negeri dan menyerahkannya kepada Ketua-Ketua Cabang dan Sayap parti untuk menyelesaikannya.

“Seperti kita sedia maklum berlaku krisis kepimpinan PKR Sabah dan perkara ini bukanlah baharu kerana ia berlanjutan sejak 2017. Krisis memuncak selepas 17 daripada 26 Ketua Cabang serta Ketua-Ketua Sayap PKR Sabah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menolak kepimpinan Datuk Christina Liew.

“Di peringkat Majlis Pimpinan AMK Sabah, kita mengambil keputusan untuk tidak mencampuri pertelingkahan ini dan menyerahkan kepada Ketua-Ketua Cabang serta Ketua-Ketua Sayap untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Namun, sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, kita tidak menghalang Ketua-Ketua AMK Cabang untuk menyuarakan pendapat mereka selagi tidak melanggar peraturan tatatertib parti dalam sebarang kenyataan yang dikeluarkan.

“AMK Sabah juga tidak mengeluarkan arahan kepada mana-mana Ketua AMK mahupun Jawatankuasa AMK negeri untuk mengeluarkan kenyataan menegur Pengerusi MPN melalui kenyataan media,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, seperti kenyataannya bersama Ketua Penerangan Wanita, Srikandi dan Skuad PKR Sabah sebelum ini, mereka menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.

Malah, katanya kenyataan itu tidak berpihak kepada mana-mana melainkan berharap kemelut itu dapat diselesaikan segera agar parti dapat fokus kepada gerak kerja menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya juga maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh sembilan Ketua AMK Cabang iaitu Tuaran, Sepanggar, Kota Belud, Kinabatangan, Kalabakan, Beluran, Libaran, Sandakan dan Batu Sapi.

“Dalam kenyataan tersebut boleh dilihat serangan yang tidak berasas dibuat terhadap Ketua AMK Sabah, saudara Raymond Ahuar. Amat pelik apabila saudara Raymond yang tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengkritik Christina tetapi dipersalahkan.

“Malah mereka mempersalahkan saudara Raymond atas kegagalan mereka sendiri menjalankan amanah selaku pemangku Ketua AMK Cabang untuk menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing,” katanya.

Razeef menjelaskan daripada sembilan Ketua AMK Cabang itu, hanya Cabang Tuaran diwakili Ketua AMK Cabang yang sah manakala tujuh adalah penaja yang belum sah iaitu Sepanggar, Kota Belud, Kalabakan, Kinabatangan, Beluran, Libaran dan Batu Sapi.

Katanya, bagi AMK Cabang Sandakan pula ia tidak sah selepas AMK Cabang itu dibatalkan ketika Pemilihan PKR pada 2018 berpunca daripada korum penyertaan pemilihan yang tidak mencukupi.

“Dalam erti kata lain Ketua AMK Sandakan sekarang adalah tidak sah atau haram. Bagaimana mereka boleh ‘sumbat’ individu tersebut dalam kenyataan media menggunakan jawatan yang tidak sah? Adakah mereka faham peraturan parti?

“Saya juga telah berhubung dengan beberapa Ketua AMK Penaja yang bersama mengeluarkan kenyataan tersebut. Ketua AMK Beluran dan Batu Sapi memaklumkan bahawa mereka tidak terlibat dalam kenyataan tersebut namun terdapat pihak yang meminta untuk nama mereka digunakan.

“Menurut mereka, mereka tidak berminat untuk terlibat dalam sebarang pertelingkahan serta mana-mana kumpulan sebaliknya ingin fokus menjalankan amanah untuk membentuk semula jawatankuasa AMK Cabang serta turun ke lapangan dalam gerak kerja bersama parti.

“Mereka juga tidak bersetuju sebarang teguran dibawa ke media memandangkan sebarang permasalahan boleh diselesaikan melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK negeri,” katanya.

Beliau berpandangan kenyataan yang dibuat itu hanyalah bermotifkan dendam atau atas arahan pihak tertentu sehingga mempergunakan nama individu lain serta menggunakan jawatan yang tidak sah.

Razeef kemudian menggesa kepada seorang Ketua AMK dan Ketua-ketua AMK Penaja terbabit supaya melontarkan sebarang persoalan dan kritikan pada Mesyuarat AMK Negeri yang akan datang.

“Hadirlah ke mesyuarat sekiranya dijemput, gunalah saluran yang betul selagi tidak dihalang. Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita boleh melenting di media sebelum perkara yang berbangkit dibincangkan di dalam mesyuarat.

“Matanglah dalam berpolitik. Berhenti salahkan pihak lain jika kekurangan dalam menjalankan tanggungjawab di kawasan sendiri adalah atas kelemahan diri sendiri. Majlis Pimpinan AMK Negeri akan bantu sekiranya mereka yang diamanahkan memerlukan bantuan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|