PRN Sarawak: Penamaan calon hari ini, SOP kempen dilonggarkan

PRN Sarawak: Penamaan calon hari ini, SOP kempen dilonggarkan

Kuching: Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) bermula hari ini dengan sebanyak 82 pusat penamaan calon di 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka bermula jam 9 pagi hingga jam 10 pagi ini.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

“Penyokong-penyokong parti politik
yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat oenamaan calon. Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang Hari penamaan calon,” katanya.

PRN Sarawak diadakan berikutan penamatan proklamasi darurat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 November lalu.

Penamatan itu secara tidak langsung membuka laluan untuk mengadakan PRN Sarawak memandangkan tempoh DUN Sarawak sebelum ini sudah berakhir pada 7 Jun lalu.

Sementara itu, SPR semalam mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 untuk PRN Sarawak yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan berbanding PRN Melaka bulan lalu.

Antaranya, SPR membenarkan penganjuran ceramah secara fizikal di 64 kawasan DUN yang berdepan masalah capaian internet dengan kehadiran sesi ceramah dihadkan kepada 50 peratus kapasiti premis atau maksimum 150 orang dalam satu-satu masa.

SPR turut membenarkan calon bersama dua petugas parti yang bertanding mengedarkan risalah dan bahan kempen di rumah panjang sepanjang 12 hari tempoh kempen bermula hari ini.

Bagaimanapun, pengedaran risalah dan bahan kempen untuk PRN hanya boleh dibuat di hadapan rumah atau ruai rumah panjang.

Namun begitu, SPR masih menggalakkan supaya calon melaksanakan kempen menggunakan media sosial bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui perjumpaan fizikal.

Dalam pada itu, SPR melarang aktiviti rentas negeri untuk membantu kempen PRN Sarawak kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyatakan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya itu, menjadikan hanya PKR, DAP, AMANAH dan Pas yang mempunyai pemimpin dari luar Sarawak bersaing bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti tempatan Sarawak yang lain.

Selain itu, SPR turut melarang anggota media menemu bual secara terjah mana-mana calon atau individu atau di luar masa yang ditetapkan di pusat mengundi.

SPR juga tidak membenarkan sebarang acara sambutan atau meraikan kemenangan calon selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Selepas selesai penamaan calon, kempen PRN Sarawak akan berlangsung selama 12 hari sebelum hari pengundian biasa pada 18 Disember ini, manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Seramai 1,252,014 pengundi layak mengundi pada PRN-12 Sarawak, merangkumi 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|