Kompaun perlu dibayar hanya RM1,000 sahaja

Kompaun perlu dibayar hanya RM1,000 sahaja

Penampang: Individu yang dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 pada kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Khamis lalu, hanya perlu membayar kompaun berjumlah RM1,000 sahaja.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, penetapan jumlah kompaun berkenaan dibuat dengan merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang dikeluarkan, 13 Disember lalu.

Katanya, nilai kompaun bagi kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan peraturan-peraturan ditetapkan sebanyak RM1,000 sebagaimana dinyatakan mengikut Seksyen 25 Akta 342.

“Sehubungan itu, kepada mana-mana individu yang dikenakan kompaun pada 23 Disember lalu tertakluk kepada pindaan ini iaitu nilai kompaun sebanyak RM1,000 saja.

“Semua individu terbabit boleh membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah Penampang dan segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, mereka yang terbabit juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi mendapatkan sebarang penerangan yang lebih jelas.

Terdahulu, dalam serbuan jam 1 pagi, Khamis lalu, seramai 82 pengunjung dikenakan kompaun selepas didapati melanggar SOP Fasa 4 PPN.

Ketika serbuan dijalankan hasil aduan yang diterima daripada orang awam mendapati pengunjung bukan saja tidak mengamalkan penjarakan fizikal malah ada juga yang didapati tidak membuat imbasan kod MySejahtera ketika memasuki premis berkenaan.

Hasil daripada pemeriksaan itu, kompaun dikeluarkan kepada 82 pengunjung dan pemilik sebuah pusat hiburan sehingga menjadikan keseluruhan kompaun sebanyak RM148,000.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|