Covid-19 Sabah: Separuh kawasan di Sabah sudah keluar zon merah

Covid-19 Sabah: Separuh kawasan di Sabah sudah keluar zon merah

Kota Kinabalu: Separuh daripada kawasan di Sabah sudah keluar daripada zon merah Covid-19 sejajar situasi semasa kes yang menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu.

Secara keseluruhan, 13 daerah keluar daripada zon merah dengan masing-masing tujuh daerah dalam zon kuning, manakala enam daerah lagi dalam zon jingga setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata baki 14 daerah lagi masih berada dalam zon merah.

Katanya, 13 daripada daerah terbabit berada di kawasan pantai barat, manakala hanya satu daerah iaitu Sandakan masih zon merah di pantai timur.

“Sebanyak tujuh daerah di Sabah berada dalam zon kuning iaitu Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Pitas, Telulid, Kalabakan dan Kunak.

“Enam daerah lagi berada dalam zon jingga iaitu Tawau, Kudat, Beluran, Nabawan, Sipitang dan Tongod, manakala baki 14 daerah pula kekal dalam zon merah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Selain Sandakan, daerah lain yang masih berada dalam zon merah ialah Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Penampang, Kota Belud, Putatan, Papar, Kuala Penyu, Tenom, Kota Marudu, Beaufort, Tambunan dan Keningau.

Seluruh Sabah berada dalam zon merah sejak Julai lalu sebelum beberapa daerah bertukar semula ke zon jingga dan kuning bermula dengan Kalabakan pada bulan lalu.

Semalam, Sabah mencatat sebanyak 127 kes baharu COVID-19, turun 41 kes berbanding kelmarin dengan tiada kes kematian baharu dilaporkan, manakala 723 pesakit masih menerima rawatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|