Kelonggaran rentas negeri ke Sabah mulai esok

Kelonggaran rentas negeri ke Sabah mulai esok

Kota Kinabalu: Bermula esok, pengunjung dari Semenanjung dan Sarawak yang merentas negeri untuk lawatan sosial ke Sabah tidak perlu lagi menjalani ujian saringan Covid-19 seperti diwajibkan sebelum ini.

Kelonggaran itu bagaimanapun hanya diberikan kepada individu yang sudah lengkap vaksin dan tanggungan mereka yang belum layak divaksin, khususnya kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah yang dikeluarkan malam tadi, individu belum divaksin atau belum lengkap vaksin masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pengunjung ke Sabah yang sudah lengkap vaksin hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan atau eHealth di laman sesawang https://sm.jknsabah.gov.my/HDF/hdf.php sebelum berlepas ke Sabah.

“Pengunjung yang sudah lengkap vaksin tidak perlu lagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas ke Sabah. Mereka hanya perlu menunjukkan bukti sudah menerima dos lengkap vaksin ketika penilaian risiko apabila tiba di pintu masuk Sabah.

“Bagi yang belum lengkap vaksin atau belum divaksin, mereka masih perlu menjalani ujian saringan dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas dan menunjukkan keputusan negatif Covid-19 yang disahkan oleh klinik atau makmal bertauliah yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mereka juga perlu mengisi borang deklarasi eHealth,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Keputusan kerajaan negeri melonggarkan syarat kemasukan pengunjung lengkap vaksin dari Semenanjung dan Sarawak ke Sabah bermula 1 Disember diumumkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, langkah itu sejajar usaha kerajaan negeri membuka semula sektor pelancongan domestik sebagai sebahagian usaha untuk memulihkan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

Kerajaan negeri sebelum ini melonggarkan kemasukan pengunjung dari Wilayah Persekutuan Labuan bermula 8 November lalu bagi memudahkan penduduk negeri ini dan pulau bebas cukai itu merentas di antara kedua-duanya tanpa perlu menjalani saringan COVID-19.

Sementara itu, Masidi berkata bagi pelawat antarabangsa yang tiba di pintu masuk negeri ini, SOP yang dikuatkuasakan sebelum ini tidak berubah.

Jelasnya, setiap individu dan tanggungan pelawat antarabangsa yang baru tiba diwajibkan menjalani saringan Covid-19, selain kuarantin seminggu bagi yang sudah lengkap vaksin.

Katanya, bagi pelawat antarabangsa yang belum lengkap vaksin Covid-19 atau belum menerima vaksin, tempoh kuarantin yang ditetapkan ialah selama 10 hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|