Srikandi Muda main peranan tarik golongan muda sertai BERSATU

Srikandi Muda main peranan tarik golongan muda sertai BERSATU

Kota Kinabalu: Srikandi Muda perlu memainkan peranan untuk menarik lebih ramai golongan muda terutama wanita untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah.

Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, ia selaras dengan keputusan kerajaan membenarkan golongan muda berusia 18 tahun secara automatik.

“Penubuhan Srikandi Muda mampu menarik golongan wanita sebagai pelapis daripada golongan muda berjuang bersama BERSATU dan sebagai wadah baharu dalam mengemudi anak muda ke puncak kejayaan.

“Saya ingin tekankan bahawa adalah amat penting untuk kita melatih bakal pemimpin, pelapis kita sedari usia muda mereka dan memandangkan usia layak mengundi adalah 18 tahun, kita adakan program outreach golongan beliawanis dan remaja agar mereka sertai Biro Srikandi Muda,” katanya ketika hadir pada perjumpaan dengan Pengerusi-Pengerusi Biro Srikandi Muda Sabah di Bangunan BERSATU Alamesra, semalam.

Jelas Azizah, Biro Srikandi Muda perlu bergerak aktif memainkan peranan besar dan perlu bekerja keras mengambil peluang yang ada untuk menarik golongan muda ini menyertai BERSATU.

“Biro Srikandi Muda perlu menyusun gerak kerja baharu bagi memastikan golongan ini selesa, mesra dan dekat dengan parti Bersatu.

“Harus diingat golongan muda ini bukan sahaja aset kepada negara tetapi aset kepada parti dan merupakan barisan pelapis yang perlu diberikan pendedahan mengenai sistem demokrasi dan operasi parti itu sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, menarik minat golongan belia berumur 18 tahun ke atas antara strategi yang akan ditekankan oleh Srikandi Muda menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ia amat penting memandangkan golongan ini telah dibenarkan untuk mengundi maka strategi yang sesuai dengan kehendak mereka perlu diambil kira bagi memastikan agenda parti relevan dengan keperluan semasa,” katanya lagi.

Hadir sama Naib Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yassin; Penolong Setiausaha, Datuk Redonah Bahanda; Ketua Srikandi BERSATU Sipitang , Datuk Surinam Sadikun dan Setiausaha Kerja Srikandi Sabah, Aziah Atoh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|