Pengusaha industri kraftangan kembali ‘bernafas’

Pengusaha industri kraftangan kembali ‘bernafas’

Kota Kinabalu: Kerana hilang sumber pendapatan, ada antara pengusaha kraftangan di sini, terpaksa ‘gulung tikar’ kerana tiada aktiviti jual beli hampir dua tahun akibat pendemik Covid-19.

Namun, keadaan itu kini semakin pulih apabila kerajaan mengambil keputusan untuk tidak lagi menutup sektor ekonomi sebaliknya memberi galakan kepada pemain industri memulihkan semula perniagaan menerusi program yang dilaksanakan kerajaan.

Antara program yang membantu peniaga berdiri semula termasuk Promosi Kraf Malaysia 2021 yang berlangsung selama 12 hari di pusat beli belah Suria Sabah dan peluang ini disambut baik oleh pemain industri kraftangan di negeri ini.

Rosmih Ukong, 52, antara pemain industri yang terjejas teruk akibat pandemik dan terpaksa menutup premisnya yang selama ini gah beroperasi di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu.

“Sudah 25 tahun saya berada di dalam bidang kraftangan dan pandemik kali ini betul-betul menguji kekuatan saya sehingga terpaksa menutup kedai menjual kraftangan di Asia City kerana tidak mampu menampung kos bulanan sedangkan ketika itu kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum pandemik melanda, saya mampu meraih pendapatan antara RM15,000 hingga RM20,000 dengan menjual hasil kraftangan yang dihasilkan sendiri dan dipasarkan ke negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Namun ketika pandemik, saya tidak mampu jual sehelai pun pakaian tradisi ketika itu,” katanya ketika ditemui Deasoka, baru-baru ini.

Tambah Rosmih lagi, dengan adanya program promosi kraftangan ini memberikan semangat baharu untuk mereka memulakan semula perniagaan yang terjejas sebelum ini.

“Jual hasil kraftangan secara dalam talian tidak sama seperti kami membuka gerai atau premis kerana sebelum ini sasaran kami ada pelancong asing.

“Di musim pandemik, tiada siapa yang ingin memakai pakaian tradisi sedangkan ketika itu semua berkurung di rumah jadi sekali gus tiada sebarang jualan.

“Tetapi saya bersyukur akhirnya keadaan semakin pulih dan kami dibenarkan berniaga semula malah dijemput menyertai program ini bagi memperkenalkan dan mempromosikan produk kraftangan masing-masing,” katanya yang menjual pakaian tradisi dan aksesori tradisional etnik Rungus dari Kudat.

Menurut seorang lagi peniaga kraftangan, Ruby Arshad, 46, mereka terpaksa bermula dari bawah untuk mendapatkan semula pelanggan memandangkan ketika ini industri pelancongan baru saja kembali rancak.

“Kebanyakkan barangan kraftangan yang saya jual diambil dari pelbagai daerah dan agak sukar untuk pelancong berkunjung ke daerah lain.

“Jadi dengan memborong hasil kraftangan dari Keningau dan daerah lain, bolehlah dibawa ke Kota Kinabalu untuk dijual kepada pelancong yang datang berkunjung ke sini,” katanya.

Seorang lagi penggiat industri seni kraftangan Sara Magturtor, 56, tidak mahu kehadirannya di Kota Kinabalu menyertai promosi kraftangan tidak membawa sebarang hasil.

“Saya datang tidak hanya dengan tangan kosong sebaliknya membawa segala hasil tangan berseni terutama pakaian tradisi Kadazan yang dihasilkan untuk diperaga dan dijual kepada orang ramai dalam promosi kraftangan kali ini.

“Malah, saya juga menjahit secara ‘live’ aksesori yang digunakan dalam pakaian tradisi supaya pengunjung tahu bahawa produk yang saya hasilkan berkualiti kerana ia buatan tangan,” katanya yang berasal dari Tawau.

Sebelum itu, tinjauan Deasoka.com pada Promosi Kraftangan Malaysia yang berakhir hari ini mendapati program itu disertai oleh 43 usahawan kraftangan dari seluruh daerah di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|