Guna kumbang kawal rumpai secara biologi

Guna kumbang kawal rumpai secara biologi

Kota Kinabalu: Jabatan Pertanian Sabah memperkenalkan penggunaan sejenis kumbang bagi mengatasi masalah rumpai kariba, sejenis tumbuhan akuatik asing yang merebak dengan cepat dan menjejaskan hidupan air lain.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata kumbang dikenali sebagai Salvinia weevil Cyrtobagous salviniae itu dikenal pasti berkesan sebagai pengawal biologi spesies rumpai invasif asing dipanggil Salvinia molesta atau rumpai kariba.

Beliau berkata, Salvinia molesta adalah antara lebih 100 spesies invasif asing yang dikesan di Sabah pada masa ini yang harus diatasi dengan cepat dan berkesan.

“Spesies invasif asing termasuk haiwan, tumbuhan dan mikroorganisma yang diperkenalkan secara sengaja atau tidak sengaja, boleh mengancam ekonomi, keanekaragaman hayat atau kesihatan manusia.

“Sehubungan itu, langkah kawalan yang sesuai dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memastikan spesies invasif asing ini tidak menjejaskan hidupan asal di Sabah,” katanya pada Program Pelepasan Kumbang Cyrtobagous salviniae, secara dalam talian, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata program itu sesuai dengan saranan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) iaitu perjanjian multilateral antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, konvensyen berkenaan sudah diperhalusi dan diterjemahkan ke dalam Strategi Biodiversiti Sabah 2012 – 2022 dan Dasar Biodiversiti Nasional 2016 – 2025.

Beliau berkata, Malaysia juga pernah menghadapi masalah spesies invasif asing, seperti serangga pengorek koko yang merosakkan tanaman koko pada 1980-an dan siput gondang emas yang merosakkan tanaman padi pada tahun 1990-an.

Tambahnya, Salvinia molesta adalah tumbuhan terapung bebas yang tidak melekat pada tanah tetapi kekal berada di permukaan air.

“Walaupun berpotensi membersihkan sistem kumbahan yang mesra alam, pertumbuhannya yang cepat menyumbat saluran air dan menyekat sinar matahari yang diperlukan oleh tumbuhan air lain, terutama alga untuk melakukan proses fotosintesis, sekali gus menyahtoksin air.

“Apabila ia mati dan reput, ia turut mengambil oksigen di dalam air. Ia juga mencegah pertukaran gas semula jadi antara udara dan air yang diserang oleh tumbuhan ini, menyebabkan pertakungan air.

“Ia turut berpotensi membunuh tanaman, serangga atau ikan yang terperangkap di bawah pertumbuhannya. Keupayaannya untuk tumbuh dan meliputi kawasan yang luas menjadikannya ancaman terhadap biodiversiti,” katanya.

Jeffrey berkata, beliau yakin melalui program itu, kementeriannya dapat menambahkan lagi jaminan keselamatan industri pertanian dan perikanan di Sabah, kecukupan sumber bekalan makanan di samping memastikan pemuliharaan persekitaran alam yang mapan.

Beliau turut memuji usaha dan komitmen Jabatan Pertanian untuk mengawal tumbuhan akuatik atau kiambang itu secara biologi.

“Saya menyokong penuh usaha yang dilaksanakan oleh jabatan ini dan saya harap melalui program ini, kita akhirnya dapat menyelesaikan masalah ini rumpai invasif asing ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|