Rokok seludup dirampas

Rokok seludup dirampas

Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok tanpa cukai di kawasan bangunan Ko-Nelayan, Pasar Awam Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi, PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, serbuan dijalankan terhadap sekumpulan lelaki yang dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, kumpulan suspek yang menyedari kehadiran polis terus bertindak melarikan diri meninggalkan lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan terus dijalankan di kawasan berkenaan dan menemukan beberapa kotak disembunyikan di kawasan berkenaan.

“Pihak polis menemui rokok dan tembakau yang tidak bercukai yang dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM 4,256 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Gan berkata, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967 bagi mengenalpasti individu terbabit selain pembekal rokok yang dipercayai diseludup masuk berkenaan.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada PPM menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|