Selesaikan masalah tiada bekalan air penduduk

Selesaikan masalah tiada bekalan air penduduk

Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) digesa supaya segera mencari jalan penyelesaian masalah bekalan air yang sudah berlanjutan sejak sekian lama di sekitar bandaraya ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, masalah bekalan air dilaporkan berlaku di beberapa kawasan Sepanggar dan Kota Kinabalu yang dilihat semakin kritikal.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kehidupan seharian penduduk di kawasan terlibat benar-benar terjejas.

“Saya menggesa JANS supaya segera mencari jalan penyelesaian berhubung masalah air yang sudah berpanjangan.

“Masalahnya, ia seperti tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dan JANS mesti bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat setiap masalah yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi untuk mendapat ulasan berhubung masalah air yang melanda di kawasan Sepanggar.

Mengikut laporan diterima, setakat hari ini, ratusan rumah penduduk di kawasan terjejas sudah tidak menerima bekalan air sejak lima hari lalu.

Aliakbar berkata, penduduk juga tidak menerima sebarang notis catuan bekalan air sehingga menyebabkan penduduk tidak sempat untuk melakukan sebarang persediaan termasuk menyimpan bekalan air bersih.

“Sudah banyak aduan yang dikemukakan tetapi sehingga ke hari ini tiada maklumat atau tindakan susulan yang diambil.

“Pelbagai cara untuk menghubungi JANS termasuk berhubung terus dengan pengarah dan jurutera jabatan berkenaan tetapi masih tidak berjaya,” katanya.

Aliakbar berkata, sampai bila rakyat perlu menanggung derita akibat ketiadaan bekalan air sempurna di kawasan berkenaan.

“Sekali lagi saya menggesa supaya isu air ini diselesaikan segera. Ingat amanah dan tanggungjawab yang diberikan dan jangan sesekali lepas tangan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|