Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengingatkan orang ramai di negeri ini supaya tidak sesuka hati membawa masuk, menjual atau menyebarkan apa-apa jenis tanaman, haiwan atau mikro organisma asing dari luar negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tumbuhan atau hidupan dari luar tidak boleh dibawa masuk tanpa melalui prosedur kuarantin yang betul seperti peraturan yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin 1981.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Dzulkifli Ghulamdin menyerahkan risalah berkaitan kumbang Cyrtobagous salviniae kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, orang ramai perlu peka kepada peraturan berkenaan dan ancaman terhadap sektor pertanian yang disebabkan penyebaran tumbuhan dan hidupan seperti kiambang Salvinia molesta yang berasal dari Brazil.
Jelasnya, tumbuhan itu yang banyak dijual secara dalam talian sebagai tumbuhan hiasan akuarium didapati mengancam atau memberi kesan kepada hidupan akuatik lain di negeri ini.
“Kiambang gergasi ini atau `giant salvinia’ mencemari sekurang-kurangnya 200 badan air seperti sungai, kolam ikan, parit dan sawah di seluruh negeri ini. Ini adalah keadaan yang serius dan perlu ditangani dengan segera.
“Justeru, tindakan harus diambil untuk menghentikan penyebaran kiambang ini di Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Semporna, Beaufort, Kuala Penyu, Papar, Kota Kinabalu, Penampang, Kota Marudu, Kota Belud, Kudat, Tongod dan Tuaran,” katanya pada program pelepasan kumbang Cyrtobagous salviniae yang dikenal pasti mampu mengatasi penyebaran kiambang atau rumpai Salvinia molesta secara biologi, hari ini.
Program berkenaan dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri di bawah Jabatan Pertanian Sabah.
Hajiji berkata, badan air seperti kolam dan sungai yang tercemar akibat serangan kiambang Salvinia molesta di Sabah dijangka dapat dibersihkan dengan menggunakan kumbang Cyrtobagous salviniae.
“Sehubungan itu, kita memuji usaha mesra alam ini yang diambil Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri menerusi Jabatan Pertanian,” katanya.
Rumpai akuatik Salvinia molesta tumbuh di permukaan air dan membahayakan biodiversiti serta pelbagai spesies air tawar termasuk ikan dan tumbuhan akuatik dan ia pertama kali dikesan di Sabah pada awal 2000.
Musuh utama tumbuhan berkenaan ialah spesies kumbang muncung panjang yang dikenali sebagai Cyrtrobagous salviniae atau kumbang salvinia yang menjadi agen pengawal hama biologi Salvinia molesta atau juga dikenali sebagai salvinia gergasi.
Hajiji berkata, kerajaan negeri amat menghargai dan menyokong pelbagai langkah yang diambil Jabatan Pertanian Sabah bersama Koperasi Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL Bhd), Agensi Remote Sensing Malaysia (MYSA), Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah dan Sawit Kinabalu Sdn Bhd dalam memantau infestasi rumpai kiambang.
“Usaha ini diperlukan bagi memastikan serangan kiambang Salvinia molesta dapat diatasi secara menyeluruh. Justeru itu, saya ingin menyeru seluruh masyarakat di Sabah untuk sama-sama menyertai perjuangan mengawal perebakan kiambang ini bagi memastikan badan air dan alam sekitar di Sabah terus terpelihara,” katanya.
-Deasoka