U-Science UMS anjur pertandingan STEM4ALL: D.I.Y. STEM

U-Science UMS anjur pertandingan STEM4ALL: D.I.Y. STEM

Kota Kinabalu: U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kolaborasi Jabatan Pendidikan Sabah dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mempelawa murid dan pelajar sekolah rendah serta menengah di Sabah untuk menyertai program STEM4ALL: D.I.Y. STEM Exploration bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pertandingan yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian itu sudah bermula pada 13 September lalu dan akan berakhir pada 29 Oktober ini.

Berdasarkan kenyataan U-Science UMS, pertandingan itu bertujuan memberi peluang kepada murid dan pelajar sekolah untuk menggunakan kebolehan kognitif serta kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif melalui aktiviti berasaskan STEM.

Jelas U-Science UMS, dengan menggunakan bahan atau material yang mudah dan senang didapati di rumah masing-masing, tugas peserta adalah untuk mereka cipta projek STEM yang ingin mereka jalankan sepanjang tempoh pertandingan.

“Ianya boleh dikategorikan daripada masalah yang dihadapi oleh mereka atau cara-cara untuk mempermudahkan tugasan harian dengan menggunakan konsep sains, teknologi, kejuruteraan atau matematik.

“Bagi pertandingan ini, tidak terdapat tema yang spesifik dan peserta adalah bebas untuk meneroka projek masing-masing dan mengemukakan hasil inovasi melalui video ringkas yang dihasilkan pada akhir pertandingan berkenaan,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menambah, video kreatif dengan durasi maksimum selama lima minit daripada peserta adalah berdasarkan aktiviti mereka menjalankan eksplorasi berkenaan dan hendaklah merangkumi perkara seperti pernyataan masalah, metodologi penyelesaian, konsep STEM yang digunakan, hasil daripada metodologi penyelesaian dan konsep STEM yang digunakan, rumusan projek dan faedah kepada masyarakat.

“Peserta hanya perlu memuat naik video kreatif di mana-mana media sosial seperti Facebook atau Youtube dan memberikan tanda pagar #STEM4ALL atau #DIYSTEMExploration2021.

“Pelajar yang telah lengkap menghantar butiran penyertaan layak untuk menerima sijil dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya.

Setiap peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai RM300 bagi hadiah utama dan terdapat lima pemenang bertuah bagi setiap kategori sekolah rendah dan sekolah menengah.

Maklumat lanjut serta video penerangan mengenai program itu boleh didapati melalui https://youtu.be/BiwnqtvYlts, laman Facebook UScience UMS atau berhubung dengan pegawai bertugas, Deidre Faye di talian 016-7733889.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|