Dua deret rumah Skim Penempatan Telipok musnah terbakar

Dua deret rumah Skim Penempatan Telipok musnah terbakar

Kota Kinabalu: Dua deret rumah yang menempatkan kira-kira 16 pintu musnah dalam kejadian kebakaran di Skim Penempatan Telipok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, api kebakaran sukar dikawal sepenuhnya berikutan kedudukan rumah yang terlalu hampir antara satu sama yang lain.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.19 petang.

Katanya, sepasukan 19 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar sebahagian besar daripada rumah yang berkeluasan keseluruhan 600 meter persegi berkenaan.

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan empat aliran sepanjang 121 meter menerusi bekalan air tangki jentera bomba,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tindakan mengawal api kebakaran terpaksa diambil segera bagi mengelakkan beberapa lagi rumah yang berada berhampiran daripada turut terbakar.

Katanya, tiada mangsa mengalami kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 3.14 petang.

“Operasi kemudiannya ditamatkan selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|