Isu dominasi pengusaha pelancong luar, KEPKAS hantar memo kepada MOTAC

Isu dominasi pengusaha pelancong luar, KEPKAS hantar memo kepada MOTAC

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) akan menghantar memo kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pengeluaran lesen pengusaha pelancongan di negeri ini.


Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak mengenai perkara itu sama ada penurunan kuasa dapat dilakukan kepada negeri untuk pengurusan lesen.


“Kita mungkin buat memo dan hantar kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di peringkat Persekutuan bagi tujuan permohonan kuasa mengeluarkan lesen kepada pengusaha industri pelancongan di negeri ini.


“Sebenarnya, kita juga dalam kajian mengenai isu ini kerana hanya bila kita ada kuasa maka isu pelesenan boleh kita kawal.


“Buat masa ini, semuanya perlu melalui pihak MOTAC termasuklah pengurusan pendaftaran pengusaha, ” katanya selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KEPKAS, semalam.


Terdahulu, isu berkenaan ditimbulkan dalam sesi perbahasan di Sidang DUN Sabah baru-baru ini di mana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyuarakan kebimbangan terhadap senario pengusaha pelancongan di Sabah yang semakin didominasi warga asing terutamanya dari Korea Selatan dan China.


Menurut Mohd Shafie, kebebasan berbuat demikian telah memberikan impak negatif terhadap pemain industri pelancongan tempatan seperti pengusaha bas persiaran, pengusaha-pengusaha tempat penginapan malah, ada di antara pelancong tidak menggunakan matawang ringgit untuk berbelanja ketika melancong ke Sabah.


Sementara itu, Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimit berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan kajian menyeluruh termasuklah melibatkan corak perbelanjaan pelancong bagi kedua-dua negara itu.


“Kita sedang dalam kajian mengenai isu itu, ia termasuklah tingkah laku pelancong-pelancong ini, corak perbelanjaan dan sebagainya.


“Selepas kajian dan kita faham, kemudian kita akan tampil dengan strategi bagaimana untuk mengurangkan impak tersebut dan dalam masa kita masih mengalu-alukan kehadiran mereka ke Sabah.
“Pada masa sama, kita juga sedang mengkaji bagaimana kita mempengaruhi mereka untuk berbelanja dalam memberikan manfaat kepada ekonomi tempatan, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|