Empat pemandu mabuk ditahan

Empat pemandu mabuk ditahan

Penampang: Seramai empat pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam pemeriksaan di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.

Operasi bersepadu ‘Op Mabuk’ yang berakhir jam 1 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 75 kenderaan diperiksa.

Katanya, empat individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol manakala 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya, tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh.

“Empat pemandu kenderaan terbabit disiasat mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haris berkata, operasi kali ini membabitkan kekuatan seramai dua pegawai kanan polis yang diketuai oleh Pegawai Turus Penguatkuasa JSPT Sabah, Asisten Superintendan Andi Baso Andi Mappangerang.

Katanya, operasi turut dibantu Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman bersama 16 anggota polis.

“Seramai 80 individu berjaya diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang ditetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|