Papar: Golongan antivaksin dikenal pasti antara punca menyebabkan kadar vaksinasi Covid-19 di daerah ini masih rendah berbanding purata vaksinasi peringkat negeri.
Perkara itu didedahkan Pegawai Daerah Papar, Hadzlan Jablee, ketika mengulas punca kadar vaksinasi penduduk lengkap dewasa di Papar yang hanya mencatat 56 peratus.
“Papar adalah antara daerah mencatat jumlah penerima vaksin yang rendah di Sabah. Setakat tiga minggu lalu, Papar hanya mencatat 56 peratus bagi dos kedua daripada 167,300 jumlah penduduknya.
“Kita sudah sedaya upaya untuk mencapai 60 peratus vaksinasi supaya daerah ini tidak terasing dan tertinggal berbanding daerah lain.
“Setelah diselidik, kita mendapati antara penyumbang kepada kadar vaksinasi rendah itu ialah wujudnya segelintir masyarakat yang takut divaksin menyebabkan mereka menolak program vaksinasi kerajaan,” katanya pada Program Sepakat @Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Sabah, di sini, semalam.
Berikutan itu, Hadzlan meminta pemimpin masyarakat di daerah ini untuk mengenal pasti penduduk yang belum menerima vaksin dan memaklumkan kepada Pejabat Daerah.
Jelasnya, langkah itu memudahkan tindakan susulan untuk memujuk dan meyakinkan penduduk terbabit agar tampil mendapatkan vaksin COVID-19.
“Vaksinasi adalah perkara nombor satu bagi saya dan tugas saya belum selesai walaupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudah ditutup. Pemberian vaksin masih dijalankan di klinik kesihatan.
“Bagi memastikan semua penduduk divaksinasi, saya akan membawa pasukan dari rumah ke rumah untuk memberi penjelasan lebih mendalam mengenai vaksin supaya mereka boleh mendapatkan vaksin dengan segera,” katanya.
Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Harun Maddasa.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa, berkata Jabatan Penerangan sedia membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah untuk mendepani isu anti vaksin.
“Sebagai jabatan yang mempunyai akses komunikas bersemuka dengan masyarakat akar umbi, Jabatan Penerangan sentiasa bersedia untuk membantu PKOB turun padang bagi memberi penjelasan dan menangani golongan anti vaksin,” katanya.
-Deasoka