Aktiviti pelancongan luar bandar kembali aktif

Aktiviti pelancongan luar bandar kembali aktif

Tuaran: Aktiviti pelancongan luar bandar di Sabah kembali aktif dengan kebanyakan destinasi pelancongan menerima kehadiran ramai pengunjung sejak kerajaan negeri membenarkan rentas daerah bermula 14 Oktober lalu.

Ia diakui Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai menerusi tinjauannya di beberapa destinasi percutian sekitar daerah kecil Kiulu, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan adanya kebenaran rentas daerah dan pembukaan semula kegiatan pelancongan, ramai yang mengunakan peluang itu untuk merancang aktiviti keluarga dan meneroka pusat pelancongan luar bandar.

“Pembukaan semula aktiviti pelancongan dan pergerakan rentas daerah bermula pada 14 Oktober lalu dan rentas negeri mulai 1 November ini adalah perkembangan yang sangat positif bagi Sabah untuk bergerak ke depan pada waktu pandemik Covid-19 ini.

“Sememangnya, kita sentiasa bersedia menerima semula kedatangan pelancong ke negeri ini. Perkembangan ini akan menggerakkan kembali sektor pelancongan kita dan memberi semula pekerjaan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

“Kita juga tidak pernah berhenti mempromosikan pelancongan desa dan berasaskan komuniti bagi menggalakkan orang ramai untuk terus melawat destinasi yang ada di luar bandar Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata ia adalah antara usaha kementerian dan STB dalam memperkasakan masyarakat luar bandar serta merancakkan kembali aktiviti pelancongan di kawasan mereka.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, baru-baru ini turut mengambil kesempatan meninjau aktiviti pelancongan di Minurod Campsite, kira-kira 25 kilometer dari pekan Kiulu yang menjadi antara lokasi pelancongan popular di kawasan berkenaan.

Pengunjung menyatakan kelegaan mereka kerana dapat merentas daerah dan melakukan aktiviti rekreasi atau berkelah bersama keluarga di pusat pelancongan luar bandar setelah berbulan tidak dapat melancong.

Pengunjung Minurod Campsite, Sheq Min Chu, 60, dari Kampung Lakut, Papar, berkata ia adalah kali pertama keluarganya berkumpul untuk melakukan aktiviti bersama setelah hampir dua tahun terpisah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

“Kami berasa gembira apabila rentas daerah dibenarkan kerana kami dapat bertemu dengan ahli keluarga yang lain setelah sekian lama berada di rumah saja. Sememangnya, kami sekeluarga sudah lama merancang untuk berkelah dan sangat gembira dapat bertemu dengan orang tersayang akhirnya.

“Kami memilih Kiulu sebagai destinasi rekreasi keluarga kerana keindahan alam semulajadi dan persekitarannya yang segar,” katanya sambil menambah keluarga dan saudara-mara mereka juga sudah merancang untuk melawat kawasan pelancongan di daerah lain.

Seorang lagi pengunjung, Khalid Bidin, 48, berkata keluarganya sudah merancang untuk mengisi hujung minggu mereka dengan mengunjungi tempat rekreasi atau perkelahan di kawasan luar bandar.

“Sejak pergerakan rentas daerah dibenarkan, kami sekeluarga sudah melawat pusat pelancongan untuk beriadah sebanyak tiga kali. Saya memang menanti-nantikan untuk melakukan aktiviti keluarga kerana kesian melihat isteri dan anak-anak berada di rumah dengan tidak banyak aktiviti dilakukan ketika PKP,” katanya.

Khalid, yang berasal dari Johor tetapi sudah menetap di Sabah selama enam tahun, berkata keluarganya memilih untuk melancong di tempat yang kurang pengunjung bagi menjaga keselamatan keluarga daripada jangkitan COVID-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|