Kota Kinabalu: Sebanyak 174 premis di seluruh Sabah terpilih untuk menerima Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, semua premis berkenaan terdiri daripada lapan kategori premis perniagaan yang melalui proses penilaian ditetapkan.
Katanya, antara kategori terpilih bagi anugerah berkenaan adalah kedai runcit, pasar mini, pasar raya, pasar raya besar (hypermarket), kedai makan atau restoran, gerai makan, kedai alat tulis dan buku serta kedai pakaian.
“AKHP ini adalah inisiatif yang dilaksanakan KPDNHEP secara dwi tahunan sejak tahun 2003 dengan tujuan untuk memberikan pengiktirafan.
“Ia juga sebagai galakkan kepada premis-premis perniagaan menjual dan menawarkan produk dan barangan pengguna pada harga yang berpatutan tanpa mengabaikan kualiti serta perkhidmatan jualan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Georgie berkata, KPDNHEP melalui kerjasama strategik dengan pemain industri sektor peruncitan akan meneruskan AKHP di masa hadapan.
Katanya, ia juga sebahagian daripada usaha mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan merancakkan kegiatan ekonomi domestik.
Sementara itu, Georgie mengadakan lawatan dan seterusnya menyampaikan sijil kepada premis penerima AKHP 2021 di sekitar daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Untuk rekod, sebanyak 2,149 premis di seluruh negara terpilih sebagai penerima AKHP 2021.
-Deasoka