Covid-19 Sabah: 9 daerah catat kenaikan ketara kes

Covid-19 Sabah: 9 daerah catat kenaikan ketara kes

Kota Kinabalu: Sembilan daerah mencatat peningkatan ketara kes Covid-19 hari ini sekali gus menyumbang kenaikan mendadak jangkitan kepada 549 kes berbanding 393 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah terbabit ialah Beaufort yang mencatat kenaikan 32 kes, diikuti Kudat (+19), Kota Belud (+18), Kota Marudu (+18), Tenom (+17), Kinabatangan (+17), Pitas (+13), Lahad Datu (+12) dan Ranau (+11).

Berikutan peningkatan itu, katanya Beaufort mencatat 52 kes baharu hari ini, manakala Kudat (36), Kota Belud (58), Kota Marudu (44), Tenom (32), Kinabatangan (17), Pitas (20), Lahad Datu (21) dan Ranau (26).

Beliau berkata sembilan daerah terbabit adalah antara 16 daerah yang mencatat pertambahan kes hari ini dengan tujuh lagi ialah Kota Kinabalu, Tawau, Penampang, Tambunan, Sandakan, Beluran dan Kuala Penyu dengan kenaikan pada kadar satu angka.

“Tujuh daerah merekodkan penurunan namun hanya satu daerah yang menunjukkan penurunan signifikan berbanding semalam iaitu Sipitang dengan pengurangan 16 kes. Empat daerah lagi kekal dengan catatan sebagaimana semalam,” katanya.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata secara keseluruhan hampir semua daerah mencatat jumlah kes yang lebih tinggi berbanding semalam.

“Setelah merekodkan jumlah kes yang rendah semalam, Sabah mencatat peningkatan kes baharu yang tinggi sebanyak 156 kes. Jumlah kes yang direkodkan hari ialah 549 kes,” katanya.

Katanya, daripada 549 kes yang dicatat hari ini, sebanyak 155 kes adalah kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui, manakala 394 kes dilapor berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Jelasnya, kes jangkitan yang dianggap serius kekal rendah iaitu dua orang dalam Kategori 3, Kategori 4 (lima orang) dan Kategori 5 (tiga orang).

“Kebanyakan kes jangkitan adalah dalam Kategori 2, iaitu 465 orang (84.70 peratus) dan Kategori 1, seramai 69 orang (12.57 peratus). Lima kes lagi masih dalam siasatan JKNS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|