Pemergian James Masing kehilangan besar masyarakat Dayak – Jeffrey Kitingan

Pemergian James Masing kehilangan besar masyarakat Dayak – Jeffrey Kitingan

Kota Kinabalu: Pemergian Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing yang meninggal dunia awal pagi kelmarin disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara, khususnya Sarawak, lebih-lebih lagi kepada masyarakat Dayak.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata beliau terkejut dengan berita pemergiannya dan menyatakan rasa sedih serta takziah kepada keluarga pemimpin Dayak yang sangat dihormati itu.

“Dia adalah seorang kawan yang baik, kami sama-sama bermula pada 1980-an bercakap mengenai isu Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

“Kami disertai intelektual dan profesional lain dari negeri Borneo termasuk Tan Sri Leonard Linggi Anak Jugah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata James kemudian menonjol dalam politik tempatan dan menjadi seorang daripada personaliti Dayak yang sangat penting yang berjaya sampai ke kemuncak kejayaan.

Namun, katanya James tidak pernah melupakan kawan-kawannya atau yang sama-sama berjuang dengannya demi hak Sabah dan Sarawak.

“Dia adalah pemimpin pertama yang menghubungi saya dan mengucapkan tahniah atas ucapan sulung saya di Parlimen pada 2018.

“Komuniti Dayak di Sabah dan Sarawak akan merindui keberanian, kepimpinan dan secara peribadi bagi saya persahabatan yang terjalin selama ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|