50 peratus diskaun untuk saman trafik

50 peratus diskaun untuk saman trafik

Kota Kinabalu: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi bayaran saman terpilih bermula 1 hingga 12 November depan.

Ketua JSPT Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tawaran diskaun berkenaan akan dilancarkan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini

Katanya, diskaun itu ditawarkan kerana memahami kekangan kewangan yang dihadapi orang ramai sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Kaunter pembayaran akan dibuka di seluruh negeri bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Sehubungan itu, orang ramai yang ingin berurusan di kaunter pembayaran dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pemberian diskaun sebanyak 50 peratus ini adalah membabitkan saman-saman terpilih saja,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Zamzuri bagaimanapun berkata, pemberian diskaun ini tidak terpakai untuk kesalahan seperti tidak mematuhi lampu isyarat merah, lorong kecemasan, potong secara merbahaya, potong garisan kembar dan kemalangan.

Selain itu katanya, kesalahan lain yang turut tidak diberikan diskaun adalah kes dalam perbicaraan, kesalahan yang tidak boleh dikompaun, kesalahan berkaitan lori dan pengubahsuaian ekzos.

-deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|