Centre Point bina sendiri laluan masuk hubungkan Skybridge – DBKK

Centre Point bina sendiri laluan masuk hubungkan Skybridge – DBKK

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tampil membuat pencerahan mengenai kedudukan sebenar salah satu pintu masuk Skybridge Kota Kinabalu yang belum siap ketika kemudahan itu dibuka mulai semalam.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip, berkata pintu masuk ketujuh itu yang menghubungkan bangunan Centre Point akan disiapkan oleh pihak pengurusan pusat beli belah berkenaan.

“Pihak Centre Point sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan jejantas Skybridge siap keseluruhannya.

“Dalam akujanji yang dikeluarkan oleh pihak Centre Point, mereka juga menyatakan akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laluan menghubungkan Centre Point itu yang tidak dilengkapi tangga menimbulkan persoalan mengenai punca keadaan itu memandangkan kerajaan sudah membelanjakan wang yang banyak untuk menyiapkan keseluruhan jejantas sepanjang kira-kira 400 meter itu.

Kemudahan yang turut dilengkapi 20 lot premis berhawa dingin itu dibina dengan kos RM31.5 juta peruntukan Dana Mudahcara daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, selain peruntukan tambahan RM4.7 juta daripada kerajaan negeri.

Jejantas moden itu dibina melalui Projek Skybridge Pedestrian Linkages and Traffic Improvement Works yang dimulakan pada Februari 2017, namun terbengkalai selepas hampir siap pada 2018 sebelum dilaksanakan semula selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kerajaan negeri pada September tahun lalu.

Noorliza berkata, secara keseluruhan SkyBridge berkenaan dilengkapi kemudahan jejantas pejalan kaki berbumbung, eskalator, dua lif untuk golongan kelainan upaya, 20 kiosk perniagaan berhawa dingin dan kamera litar tertutup.

“Pihak DBKK berharap Jejantas SkyBridge ini bukan saja dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetapi juga membantu menyediakan kemudahan perniagaan untuk mereka yang berminat.

“Borang tawaran untuk menyewa lot berkaitan akan diedarkan dalam masa terdekat. Pihak DBKK juga mengharapkan agar pengguna sentiasa menjaga kebersihan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan,” katanya.

Jejantas Skybridge itu menghubungkan Pusat Komersial Api-Api, Pusat Membeli Belah Centre Point, Pusat Komersial Warisan Square dan Oceanus Waterfront melalui enam pintu masuk iaitu Pintu Masuk Oceanus, Warisan, Square, Marina, Api Api 1, Api Api 2 dan Asia City.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|