5Div capai imuniti kelompok

5Div capai imuniti kelompok

Kota Kinabalu: Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) mencapai imuniti kelompok COVID-19 selepas 99.9 peratus daripada warganya lengkap menerima vaksin.

Panglima 5 Div Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, daripada jumlah itu, hanya lima individu dan anggota bersamaan 0.1 peratus yang masih belum menerima vaksin atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, antara faktor tidak membolehkan penerimaan vaksin adalah disebabkan alahan ataupun mengandung.

“Semua kem Tentera Darat yang ada di Sabah serta warga 5Div termasuk kakitangan awam, ahli keluarga serta pekerja luar sudah menerima vaksin.

“Pihak 5Div mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyalurkan bekalan vaksin yang mencukupi ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Hari Ulang Tahun ke-2 Formasi 5Div di Kem Lok Kawi di sini semalam.

Sementara itu, Mohd Halim berkata, pihaknya sedang dalam perancangan melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) Army Combat Medic Vaccination Program (ACMVP) di daerah Nabawan bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi di Sabah.

Katanya, terdapat kira-kira 11,000 penduduk di daerah ini masih belum menerima vaksin sehingga kini.

“Terdapat lima daerah di negeri ini yang tidak mencapai 50 peratus dos vaksin termasuk di Tongod, Sandakan dan Nabawan.

“Kita akan fokuskan ke daerah ini bagi membantu KKM memberikan suntikan vaksin kepada warga Nabawan dalam masa terdekat,” katanya.

Mohd Halim berkata, setakat ini pihaknya sudah melakukan enam program seperti itu termasuk di Long Pasia sebagai langkah membantu kerajaan mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|