Kota Kinabalu: Rindukan keluarga dan kampung halaman membuatkan seorang wanita warga Vietnam memilih untuk membuka sebuah restoran berkonsepkan makanan tradisi negara asalnya.
Pengusaha restoran, Siti Aishah Abdullah atau nama sebenarnya Huynh Mong Thuy Vy, 26, berkata, ia berikutan penularan pandemik Covid-19 menghalangnya untuk pulang ke negaranya sejak hampir dua tahun lalu.
Katanya, walaupun sudah berkahwin dengan rakyat tempatan dan berhijrah ke Malaysia sejak tujuh tahun lalu, dia hanya dapat menghilangkan rasa rindu menerusi masakan yang disediakan.
“Saya sudah mendirikan rumah tangga bersama suami yang juga lelaki tempatan sejak dua tahun lalu dan memasak adalah hobi saya sejak dahulu selain gemar mencuba pelbagai resepi masakan.
“Selepas berkahwin, saya menjadi suri rumah sepenuh masa dan sibuk menguruskan keluarga. Dan salah satu aktiviti pastinya memasak dan menghidangkan pelbagai jenis masakan Vietnam kepada suami,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Vy berkata, selain minat memasak dan halangan bertemu keluarga di Vietnam, suami mencadangkan supaya mereka membuka restoran yang menghidangkan masakan citarasa Vietnam di sini.
Katanya, keputusan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka terus mengusahakan sebuah restoran yang dikenali sebahai ‘Aishah Kitchen’ sejak Mei lalu.
“Antara menu yang dihidangkan di restorannya termasuklah Goi Cuan (Vietnam Roll), Pho Tai (mee sup daging), Bun Bo Hue (mee sup pedas daging), Banh Mi (roti berinti ayam atau daging) dan kopi Vietnam.
“Sebahagian besar bahan asas yang digunakan juga diimport daripada Vietnam bagi mendapatkan rasa keaslian setiap menu yang ditawarkan,” katanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata berusia dua tahun itu berkata, sejak pembukaan kedai berkenaan, penerimaan pelanggan masih kurang dan ditambah lagi dengan suasana pandemik Covid-19.
Namun Katanya, ia tidak akan mematahkan semangat dia dan suaminya untuk meneruskan usaha memperkenalkan masakan Vietnam kepada masyarakat di daerah ini.
“Setakat ini ramai pelanggan terdiri dari mereka yang mahu mencuba masakan Vietnam ataupun rindukan makanan ekoran pernah melancong ke sana.
“Saya melihat pembukaan perniagaan ini bukan saja istimewa buat diri sendiri tetapi secara tidak langsung mengubati kerinduan pelanggan yang mahu menikmati semua makanan asal Vietnam,” katanya.
– Deasoka