APM lancar ujian siren amaran bencana

APM lancar ujian siren amaran bencana

Kota Kinabalu: Ratusan petugas dan kakitangan di Bangunan Rumah Persekutuan dan kawasan sekitar berduyun-duyun turun ke tempat selamat selepas siren amaran sepanjang hampir 10 minit dibunyikan.

Malah ada yang panik seketika sehingga lari turun daripada bangunan untuk mencari tempat yang selamat.

Bagaimanapun, persoalan itu terjawap apabila mendapati ia adalah ujian penyelenggaraan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah yang menjalankan ujilari siren berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dr. Norhafifi Ismail berkata, ujian berkenaan dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang awam berhubung nada-nada bunyi amaran sekiranya berlaku sesuatu bencana.

Katanya, pihaknya mengeluarkan beberapa jenis nada yang mana bagi nada panjang ia bermaksud bermaksud semua pihak perlu mengosong bangunan serta-merta.

”Manakala bagi nada panjang dan beralun pula bermaksud pemeriksaan sudah dijalankan dan bangunan adalah selamat untuk diduduki.

“Kesedaran masyarakat mengenai nada amaran didapati masih rendah dan kita perlu melakukan sesuatu bagi mewar-warkan perkara ini (nada bunyi) supaya masyarakat lebih peka,”katanya.

Norhafifi berkata, terdapat beberapa nada bunyi amaran yang perlu dan penting diketahui masyarakat bagi mengambil langkah keselamatan jika berdepan dengan bencana.

Katanya, ujian itu adalah sebahagian misi menyelenggara dan mengaktifkan siren-siren amaran awam.

“Ujian ini membabitkan siren elektrik yang digunakan APM daerah Kota Kinabalu sejak 1968 dan didapati masih berfungsi dengan baik.

“Sistem ini bukan khusus kepada bencana alam sahaja, tetapi juga berfungsi untuk keselamatan seperti serangan udara, ketenteraman awam dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|