Putatan: Ujian saringan dilakukan setiap minggu antara inisiatif untuk mengelak daripada berlaku penularan jangkitan Covid-19 di sekolah susulan pembukaan semula sesi persekolahan baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, murid Tahun Satu dan Tahun Lima belum menerima suntikan vaksin Covid-19 ketika ini.
“Saya difahamkan, Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia melakukan ujian atau saringan pada Rabu setiap minggu untuk memastikan bahawa sampel daripada murid dapat diambil.
“Ini dapat mengawal risiko dan penularan jangkitan virus tersebut,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan sekolah pada Majlis Penyerahan Bantuan Sosial Sekolah di Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung bagaimana pemantauan dibuat di sekolah-sekolah bagi mengelak daripada berlaku jangkitan Covid-19 selepas sesi persekolahan bermula memandangkan murid berusia antara tujuh hingga 11 tahun belum diberikan vaksin.
Dalam pada itu, mengulas berhubung masalah kekurangan pakaian pelindung diri (PPE) di sekolah, Shahelmey berkata, perkara itu sudah disampaikan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin.
“Beliau akan periksa dan kita tunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Shahelmey memaklumkan ada menerima maklumat di sekolah di kawasan utara Sabah mengalami kekurangan PPE ketika menjalankan ujian saringan kepada murid sekolah.
“Saya telah hubungi Timbalan Menteri Pendidikan yang juga orang Sabah bagi melihat perkara ini supaya dapat memberi keselesaan kepada guru,” katanya.
Terdahulu, Shahelmey berkata, dalam majlis itu sebanyak sembilan sekolah rendah di Putatan menerima bantuan menerusi program di bawah kementeriannya.
“Sebanyak 534 sekolah rendah di seluruh Sabah menerima bantuan ini yang berupa beg sekolah, botol air dan kelengkapan alat tulis untuk pelajar terpilih.
“Pengagihan sudah dilakukan bermula bulan ini dan ia berterusan tetapi kali ini kita dalam usaha pendigitalan iaitu perkhidmatan dibuat secara dalam talian untuk sekolah yang ingin membuat permohonan,” katanya.
Sehubungan itu, Shahelmey berharap, pengagihan bantuan ini dapat menaikkan semula semangat murid untuk kembali bersekolah selepas sekian lama tidak belajar secara bersemuka.
“Ini juga sekali gus dapat melegakan keluarga yang terkesan akibat pandemik,” katanya.
-Deasoka