Jambatan Sungai Damit masih di peringkat akhir penyiapan – Jahid Jahim

Jambatan Sungai Damit masih di peringkat akhir penyiapan – Jahid Jahim

Tuaran: Jambatan Sawah-Sungai Damit merentasi Sungai Tuaran yang menghubungkan pekan Tuaran dengan Sungai Damit, di sini, masih dalam peringkat akhir kerja penyiapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata jambatan itu dijangka dibuka selepas semakan akhir selesai.

“Saya dimaklumkan oleh jurutera, sekiranya tiada halangan cuaca dan selepas dilawati oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), barulah akan diketahui perkembangan selanjutnya nanti, bila jambatan ini boleh digunakan oleh orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan susulan untuk melihat perkembangan terkini di jambatan berkenaan, hari ini selepas tinjauan pertama pada 10 September lalu.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan beberapa pemimpin masyarakat lain.

Jahid diberi taklimat status semasa jambatan itu oleh Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Jambatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Petrocelli Joseph yang turut dibantu Jurutera Daerah Tuaran, Farini Awang.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli turut menyatakan harapan agar kemudahan berkenaan dapat digunakan secepat mungkin oleh penduduk setempat.

Jambatan besi sepanjang 104 meter itu mula dibina pada April 2019 dengan kos RM18 juta dan sepatutnya sudah disiapkan tahun lalu, namun tergendala disebabkan strukturnya yang dikesan melentur sedikit di bahagian tengah.

Kemudahan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk kampung berdekatan seperti Kampung Sawah, Sungai Damit, Bintangor, Pitas, Bantayan, Damat, Bontoi dan Tamparuli.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|