Progam Jelajah bantu rakyat selesai masalah

Progam Jelajah bantu rakyat selesai masalah

Sandakan: Program Jelajah harus diteruskan sebagai usaha kerajaan mencapai matlamat membantu rakyat di setiap kawasan di negeri ini.

Presiden Gerakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Fadli Fathullah berkata, program itu bertujuan untuk membantu rakyat dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi di setiap kawasan yang dilawati.

“Melalui program ini, ketua-ketua cawangan akan turun padang bersama pemimpin untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Menerusi program ini juga kita menerima laporan daripada setiap kampung berkaitan masalah yang dihadapi termasuk masalah air, kebersihan, sampah, denggi dan lain-lain untuk kita utarakan kepada Majlis Perbandaran atau agensi kerajaan yang berkaitan untuk diselesaikan,” katanya kepada media bagi mewakili Pembantu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Seri Dr Ruddy Awah.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan pada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadli berkata, Program Jelajah adalah inisiatif daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu sebenarnya bertujuan sebagai platform kepada rakyat untuk mengutarakan masalah yang dihadapi.

“Kita gunakan ini sebagai pendekatan kepada masyarakat dengan setiap badan kerajaan supaya jika ada masalah, perkara itu tidak perlu ditularkan dan menyalahkan menteri.

“Sebaliknya ia terus diadukan atau dimaklumkan kepada pihak yang berkaitan untuk diselesaikan,” katanya.

Sebelum itu, Fadli turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden MPS, Benedict Asmat yang melaporkan diri bertugas di pejabat MPS hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|