12 saman dan tiga pati ditahan

12 saman dan tiga pati ditahan

Beluran: Sebanyak 12 saman dikeluarkan dan tiga pendatang asing tanpa izin (pati) ditahan dalam operasi yang dijalankan di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, di sini, semalam.

Operasi Bersepadu khas yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berkenaan berjaya menjalankan pemeriksaan terhadap 137 kenderaan dan 104 individu.

Jurucakap ESSCOM dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, operasi selama dua hari itu dijalankan bermula 8 pagi sehingga jam 4 petang.

Katanya, ia dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa antaranya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, BN 20 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Sepanjang operasi ini, sebanyak 137 kenderaan diperiksa membabitkan 75 kenderaan, 26 lori, 34 kenderaan pacuan empat roda dan tujuh van serta lima motorsikal.

“Dalam operasi ini juga, sebanyak 12 keping saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran atas pelbagai kesalahan antaranya gagal menunjukkan lesen memandu dan lampu brek tidak berfungsi,” katanya.

Selain itu katanya, seramai tiga warga asing turut ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah .

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c)Akta imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu turut menyatakan operasi seperti ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya di daerah ini mematuhi undang-undang khususnya lori balak yang boleh membahayakan pengguna lalu lintas lain

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|