Siasatan secara terperinci, menyeluruh sedang dijalankan

Siasatan secara terperinci, menyeluruh sedang dijalankan

Kota Kinabalu: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan pemerasan wang oleh anggota polis dalam kes membabitkan pasangan Indonesia, 6 September lalu.

Siasatan itu dijalankan berikutan satu laporan polis dibuat pasangan terbabit yang ditahan ketika melalui pemeriksaan sekatan jalan raya selepas mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan akan dibuat secara lebih terperinci bagi mengenal pasti sama ada dakwaan berkenaan benar-benar berlaku.

Katanya, polis juga akan memanggil saksi-saksi kejadian bagi membantu melengkapkan siasatan lanjut sebelum tindakan diambil.

“Polis memberi jaminan akan menyiasat kes ini secara terperinci dan menyeluruh.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan pemerasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam laporan sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) mengeluarkan kenyataan berhubung pasangan peserta program Kemanusiaan MHO itu yang diperas ugut ketika ditahan.

Pasangan terbabit menyedari dokumen pasport mereka sudah tamat tempoh namun berani untuk tampil ke PPV selepas kerajaan negara ini memberi jaminan setiap warga asing yang mendapatkan vaksinasi tidak akan ditangkap.

Bagaimanapun, mereka dibawa ke Balai Polis Penampang bagi tujuan menunggu majikan atau sesiapa saja yang ingin datang membebaskan mereka dengan membuat bayaran sejumlah wang.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihak MHO merakamkan jutaan terima kasih atas tindakan pantas PDRM dalam menjalankan siasatan.

Katanya, ia sekaligus menunjukkan tahap profesionalisme yang ditunjukkan PDRM dalam menanggani isu ini sangat baik sekaligus menaikkan imej jabatan secara keseluruhan.

“Siasatan yang berjalan dengan amat cekap, mesra dan berintegriti terhadap aduan ini amatlah dihargai.

“Mereka berharap, semua warga asing sama ada PATI atau individu tidak berdokumen akan berani lagi tampil ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) berdekatan demi menyahut seruan kerajaan dalam mencapai Imunisasi Kelompok di Sabah dan seluruh negara amnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|