KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu lebih banyak program pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan dilaksanakan bagi memperkasa wanita di Sabah.
Beliau memuji Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) kerana bekerjasama dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), dalam memperjuangkan program pemerkasaan wanita.
“Saya mahu melihat lebih ramai wanita terlibat secara aktif dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan yang diusahakan oleh MPWS,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi MPWS yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki di Menara Kinabalu hari ini.
Dalam pertemuan itu, Rosmawati memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai program-program MPWS yang memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan.
Rosmawati berkata, antaranya ialah program kepimpinan Global Women @ Sabah (Glow@Sabah) yang bertujuan mengenal pasti wanita berpotensi sebagai pemimpin serta membimbing mereka mencapai potensi sepenuhnya.
Beliau turut memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai sambutan Hari Wanita Negeri yang akan dianjurkan oleh MPWS pada 9 September tahun ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Datuk Hajah Fauziah Binti DSP Haji Abu Bakar Titingan, Setiausaha/Pengarah JHEWA Hajah Haslina Ismail serta ahli jawatankuasa MPWS.
