KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengurus tragedi kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan yang majoriti mangsanya dilaporkan bukan warganegara, disifatkan sebagai bukti kepimpinan matang yang berjaya mengimbangi tuntutan kemanusiaan, keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata dalam situasi penuh sensitiviti itu, kerajaan negeri tidak boleh bertindak secara tergesa-gesa kerana sebarang keputusan mampu memberi implikasi besar kepada imej negeri serta ketenteraman awam.
Beliau berkata, tragedi itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat susulan laporan bahawa sebahagian besar mangsa terdiri daripada bukan warganegara, manakala selebihnya rakyat tempatan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ada pihak mempersoalkan kewajaran bantuan disalurkan kepada semua mangsa, termasuk mereka yang tidak memiliki status kewarganegaraan.
“Rakyat membayar cukai untuk menikmati hasil pembangunan. Sebab itu timbul persoalan mengapa bantuan tidak diberikan kepada warga sahaja yang dianggap lebih berhak.
“Namun dalam situasi seperti ini, kebijaksanaan kepimpinan amat penting dan saya melihat Hajiji berjaya mengurus krisis dengan penuh berhikmah,” katanya ketika ditemui,hari ini.
Aksyah berkata, jika mangsa dibiarkan tanpa bantuan, ia boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri di mata masyarakat antarabangsa, selain berpotensi mencetuskan masalah sosial dan keselamatan.
Katanya, golongan yang kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan dan keperluan asas boleh terdedah kepada tekanan hidup yang akhirnya memberi kesan kepada ketenteraman awam.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada mangsa sebagai langkah wajar atas dasar ihsan bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Nilai itu mungkin tidak mencukupi untuk mengganti segala kerugian, tetapi sekurang-kurangnya mampu membantu dari sudut keperluan segera serta mengurangkan tekanan emosi mangsa,” katanya.
Pada masa sama, Aksyah berkata, apa yang lebih penting ialah visi jangka panjang kerajaan negeri untuk membangunkan semula kawasan berkenaan secara lebih tersusun selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sekadar bertindak terhadap krisis semasa, sebaliknya merancang masa depan yang lebih baik demi manfaat rakyat Sabah.
Beliau turut menyentuh isu sikap Manila yang didakwanya lantang dalam tuntutan terhadap Sabah, namun berdiam diri apabila sebahagian rakyatnya berdepan musibah di negeri ini.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab terhadap kebajikan rakyat sendiri, sedangkan Sabah terpaksa terus memikul beban sosial dan kemanusiaan yang berlaku.
Aksyah berkata, insiden penguat kuasa dikeroyok serta anggota bomba dihalau dan dimaki di lokasi kejadian juga membuktikan pengurusan krisis perlu dilaksanakan secara tenang dan tidak terburu-buru.
“Jelas sekali Hajiji sedang mengimbangi antara nilai kemanusiaan dan kedaulatan negeri. Beliau bukan hanya memikirkan penyelesaian hari ini, tetapi sedang membentuk masa depan Sabah,” katanya.
