NUNUKAN: Kerjasama keselamatan maritim antara Indonesia dan Malaysia terus diperkukuh apabila Kepolisian Daerah Kalimantan Utara (Polda Kaltara) melalui Direktorat Kepolisian Perairan dan Udara Ditpolairud mengadakan pertemuan rasmi bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di perairan sempadan, Rabu lalu.
Pertemuan dua hala itu berlangsung di kawasan perairan Pulau Sebatik, tepat di titik koordinat sempadan Indonesia Malaysia dan diadakan di atas Kapal Polisi KP Dewaji Abiyasa XXXIV 2009.
Delegasi Indonesia diketuai oleh Tidar Wulung Dahono selaku Dirpolairud Polda Kaltara, manakala pihak Malaysia pula dipimpin oleh ACP Ahmad Amri Abd Rahman selaku Komander PPM Wilayah 4 Sabah bersama pegawai kanan masing -masing.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada beberapa isu penting termasuk penyelarasan prosedur operasi standard SOP kerjasama, peningkatan operasi penguatkuasaan di kawasan sempadan serta isu melibatkan nelayan tradisional yang sering berdepan risiko pelanggaran sempadan tanpa sengaja.
Menurut Tidar, pertemuan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan langkah strategik dalam memastikan kestabilan dan keselamatan kawasan perairan bersama.
“Kami komited untuk mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti nelayan tempatan mengenai sempadan maritim antarabangsa bagi mengurangkan kes pencerobohan yang tidak disengajakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Ditpolairud bersedia memainkan peranan sebagai perantara dalam mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu penahanan nelayan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Pihak Malaysia melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik JSJN dan Cawangan Khas turut mencadangkan pengukuhan komunikasi menerusi platform Border Trade National Liaison Officer BTNCLO bagi menangani ancaman dadah dan keganasan.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah wakil Konsulat Republik Indonesia di Tawau yang menyatakan komitmen untuk terus menjadi pemudah cara dalam memastikan kerjasama teknikal di lapangan selaras dengan dasar hubungan dua hala yang harmoni.
Pertemuan berakhir sekitar jam 11.30 pagi dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai simbol persahabatan dan kerjasama erat antara kedua dua pasukan keselamatan.
Kerjasama berterusan ini diharap mampu memastikan perairan sempadan antara Kalimantan Utara dan Sabah kekal selamat, stabil dan terkawal- SATU KALTARA
