KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mendedahkan tiada lesen pajakan melombong (mining lease) dikeluarkan di kawasan Nagos, Semporna.
Sebaliknya, beliau berkata, untuk kawasan tersebut telah dikeluarkan lesen mencarigali (Prospecting Licence).
“Lesen mencarigali bukan pajakan melombong (Mining Lease), di mana bagi pajakan melombong, segala kepentingan Kerajaan seperti ekuiti, royalti, fi pajakan melombong dan lain-lain akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
“Keputusan untuk memberikan lesen mencarigali (Prospecting Licence) kepada syarikat swasta adalah berdasarkan kepada strategi kewangan yang kukuh dan pengurusan risiko yang bijak.
“Aktiviti penerokaan mineral adalah satu aktiviti yang rumit dari segi teknikal seperti geologi kawasan, jenis mineral, infrastruktur dan lain-lain yang memerlukan modal yang tinggi, dan berisiko tinggi. Ia memerlukan pelaburan awal yang besar tanpa sebarang jaminan pulangan, ” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang) dalam pengulungan perbahasan Sidang DUN Sabah, hari ini.
Mohd Shafie terdahulu mengutarakan soalan mengenai isu tanah di kawasan Nagos, Semporna melibatkan kira-kira 1,000 hektar yang dikatakan diberi kerajaan kepada pihak tertentu bagi tujuan eksplorasi emas dan mineral.
Deasoka