Enakmen SEDCO tidak wajibkan GGM dari kalangan Bumiputera: Rubin

Enakmen SEDCO tidak wajibkan GGM dari kalangan Bumiputera: Rubin

KOTA KINABALU: Enakmen Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) tidak mewajibkan pelantikan pegawai kanan terutamanya Pengurus Besar Kumpulan (GGM) datang dari kaum Bumiputera, kata Pengerusinya, Datuk Rubin Balang.

Namun katanya, dasar SEDCO membantu kaum Bumiputera di negeri ini adalah jelas, dan tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata, SEDCO ditubuhkan untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi, menggerakkan pembangunan bandar-bandar di negeri ini, selain membantu kaum Bumiputera dalam pembangunan sosio ekonomi mereka.

“Terdapat pihak yang mengkritik pelantikan GGM SEDCO kerana pelantikan terbaru ini adalah bukan dari kalangan kaum Bumiputera, sejak dahulu kesemua penyandang jawatan itu adalah terdiri dari kalangan Bumiputera,

“Enakmen SEDCO tidak mewajibkan pelantikan pegawai kanan termasuk  GGM datang dari kaum Bumiputera”, katanya ketika membahas Ucapan Dasar Kerajaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dekat sini pada Selasa.

Datuk Ar. James dilantik sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) SEDCO yang baharu.

Rubin menegaskan, dalam konteks masyarakat majmuk ada baiknya intergrasi kaum dalam jabatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan membawa iklim dan suasana yang lebih sihat  kepada GLC itu.

Beliau mencadangkan kepada kerajaan agar melakukan perubahan kepada polisi dan peraturan yang melambatkan pelaksanaan projek pembangunan apabila berlaku kerosakan pada utiliti dan infrastruktur asas rakyat.

“Kerajaan perlu segera melantik kontraktor untuk membaiki kerosakan yang berlaku secara design dan build, tanpa menunggu pelbagai proses kelulusan, prosidur yang lapuk dan kerenah birokrasi yang tidak wajar”, katanya.

Rubin mengambil contoh,  jalan utama KM 15 Tenom-Kemabong-Sipitang yang akan runtuh pada bila-bila masa dan merbahaya kepada para pengguna, sehingga kini masih belum diperbaiki.

“Tolonglah jangan tunggu  sehingga sesudah berlaku runtuhan keseluruhan jalan tersebut baru pihak berwajib mengambil tindakan”, katanya.

Beliau mencadangkan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah diberi kuasa secara mutlak untuk menangani segera jalanraya yang rosak, termasuk melantik kontraktor dengan segera bagi membaik pulih jalan-jalan berkenaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|