KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyambut baik hasrat BN Sabah untuk bekerjasama dengan PH Sabah bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Akan tetapi, BN Sabah juga digesa untuk menjernihkan hubungan antara mereka dengan pihak GRS.
Itulah yang dicadangkan oleh Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, Razeef Rakimin kepada BN Sabah susulan pengumuman ‘awal’ Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin terhadap kerjasama terbabit.
“Pada pandangan kami BN perlu menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja dari segi jentera ketika pilihan raya berlangsung.
“BN boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan Sabah dalam usaha kita membangunkan semula negeri ini. Dalam masa sama ia tidak menghalang BN untuk menjadi semak dan imbang di dalam kerajaan negeri.
“Apa yang penting di sini adalah bagaimana BN dapat berperanan bersama PH dan GRS dalam kerajaan Sabah bersama-sama membangunkan negeri ini seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan, “katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, semalam, Bung Moktar dalam satu sidang media mendedahkan BN Sabah bakal bekerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) selepas pemukiman UMNO Sabah baru-baru ini.
Sementara itu, Razeef yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah menjelaskan bahawa pihaknya dan PH Sabah sentiasa terbuka untuk berkerjasama dengan rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN17.
“Sebelum ini juga telah diadakan sekali pertemuan tidak rasmi antara PH Sabah dan BN Sabah.
“Namun biarlah kerjasama yang dibentuk ini tanpa ada perselisihan dengan parti yang lain dalam kerajaan Perpaduan, ” katanya.
Tambah beliau lagi, tiada sebarang perbincangan rasmi di antara PH Sabah dan BN Sabah setakat ini, dan rekod hanya menyaksikan kedua-dua pihak hanya melakukan pertemuan tidak rasmi sekali pada tahun lalu.
Deasoka