Projek empangan Ulu Padas giat dilaksanakan, Kerajaan ikrar pembinaan secara signifikan: Hajiji

Projek empangan Ulu Padas giat dilaksanakan, Kerajaan ikrar pembinaan secara signifikan: Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri komited untuk memastikan Projek Empangan Ulu Padas di Tenom berjaya dilaksanakan, demi memenuhi keperluan tenaga mampan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, isu menamatkan kontrak Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. sepatutnya tidak timbul kerana syarikat itu bukanlah kontraktor utama dalam projek berkenaan.

Katanya, syarikat itu hanya memegang 15 peratus pegangan saham dalam syarikat pemaju, iaitu Upper Padas Power Sdn. Bhd manakala, selebihnya dimiliki oleh Gamuda Berhad dengan 45 peratus pegangan dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., milik penuh Kerajaan Negeri Sabah dengan 40 peratus pegangan saham.

Katanya, sebagai pemegang saham majoriti, Gamuda Berhad dilantik sebagai pemaju utama dan bertanggungjawab untuk mengetuai keseluruhan pelaksanaan projek.

“Ini termasuk reka bentuk, pembinaan dan pengurusan pelaksanaan teknikal.

“Gamuda Berhad bukan sahaja memiliki rekod prestasi yang kukuh dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur berskala besar.

“Mereka juga membawa kelebihan dari segi keupayaan kewangan, dengan sokongan dana sedia ada sebanyak RM4.65 bilion yang diperoleh menerusi institusi kewangan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (UMNO-Lamag) mengenai justifikasi kerajaan membenarkan syarikat Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd terus terlibat dalam projek empangan terbabit walaupun gagal melaksanakannya sejak 2015.

Hajiji berkata, Gamuda Berhad juga menyatakan komitmen kukuh terhadap kejayaan projek ini melalui Majlis Pecah Tanah Projek Empangan Ulu Padas yang disempurnakan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tenom pada 7 Disember 2023.

“Struktur perkongsian strategik turut dirangka secara teliti bagi memastikan pelaksanaan projek memenuhi kehendak semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri, pihak pelabur, serta komuniti yang bakal menerima manfaat daripada projek ini.

“Syarikat Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. antara pihak awal yang terlibat dalam proses inisiatif dan perancangan awal projek berkenaan sejak 2015,” jelas Hajiji.

Menurutnya, walaupun kini hanya sebagai pemegang saham minoriti, mereka masih memainkan peranan dalam kesinambungan pelaksanaan projek. 

“Keterlibatan mereka juga perlu dilihat dalam konteks komitmen jangka panjang dan usaha awal untuk membawa projek ini ke tahap kelulusan dan pelaksanaan seperti yang sedang berlangsung hari ini.

“Sehubungan itu, berdasarkan struktur pemilikan semasa, tanggungjawab pelaksanaan kini diletakkan di bahu pemegang saham majoriti, khususnya Gamuda Berhad sebagai peneraju utama, dengan Sabah Energy Corporation sebagai wakil rasmi kerajaan negeri,” jelas Hajiji.

Menurutnya, perkongsian berkenaan turut mendapat kelulusan daripada pihak Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan sebarang perubahan besar seperti penamatan rakan kongsi perlu melalui proses penilaian perundangan, kewangan dan teknikal yang menyeluruh.

Justeru beliau berkata, tindakan sedemikian akan membawa kepada satu proses yang panjang, memakan masa dan akan merugikan kerajaan negeri dan juga rakyat Sabah.

“Kerajaan negeri percaya struktur sedia ada adalah yang paling sesuai dan stabil untuk menjamin kejayaan Projek Empangan Hidro Ulu Padas ini.

“Justeru, tiada keperluan untuk menamatkan sebarang penglibatan dalam kalangan pemegang saham sedia ada selagi projek ini dapat terus berjalan mengikut perancangan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat Sabah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|