Kerjasama PH/BN Sabah: Phoong jelas DAP Sabah belum bincang dengan mana-mana parti

Kerjasama PH/BN Sabah: Phoong jelas DAP Sabah belum bincang dengan mana-mana parti

KOTA KINABALU: DAP Sabah berpendirian belum ada sebarang perbincangan muktamad dengan mana-mana pihak ataupun parti untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman Pengerusi BN Sabah berhubung hasrat kerjasama antara PH Sabah dan BN Sabah, namun demikian, sehingga ke hari ini, pihak DAP Sabah tidak mempunyai sebarang perbincangan rasmi berhubung perihal terbabit.

“Ingin saya tegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa.

“Walaubagaimanapun, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat MADANI yang dipraktikkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Perdana Menteri, yang telah menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum yang lalu, “katanya.

Jelas beliau, DAP Sabah bagaimanapun sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.

“Kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah, dan bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya. Justeru itu, DAP Sabah bersedia untuk berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik.

“DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya,” katanya.

Tambah Phoong, pendirian PH Sabah harus dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|