Kuala Lumpur: Pihak Wisma Majujaya Sdn Bhd memfailkan petisyen penggulungan terhadap Bina Puri Holdings Bhd (KL:BPURI) di Mahkamah Tinggi, di sini.
Petisyen itu susulan kegagalan syarikat berkenaan membayar RM30 juta seperti yang telah diperintahkan oleh mahkamah melalui penghakiman terus (summary judgment) awal tahun ini.
Memetik kepada laporan The Edge, tindakan terbabit ditandatangani oleh Pengarah Wisma Majujaya, Datuk Tan Hock Kien mengikut peruntukan Akta Syarikat 2016.
Wisma Majujaya turut memohon untuk dilantik sebagai pelikuidasi bagi Bina Puri dan kos petisyen tersebut dibayar daripada aset Bina Puri.
Untuk rekod, pada 4 Februari lalu, Wisma Majujaya telah memperoleh penghakiman terus dari Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan Bina Puri membayar jumlah penghakiman sebanyak RM28.17 juta, berserta faedah 8 peratus dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tersebut.
Bina Puri kemudian mengumumkan dalam pemfailan di Bursa Malaysia bahawa mereka telah mengarahkan peguam mereka untuk memfailkan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman terus itu.
Tindakan undang-undang ini berkaitan dengan tuntutan RM28.17 juta yang didakwa sebagai pulangan pelaburan oleh Wisma Majujaya seperti yang termaktub dalam perjanjian usaha sama (JVA) yang ditandatangani pada November 2017, berkaitan dengan pembangunan di Johor Bahru yang dikenali sebagai Puri Residence.
Wisma Majujaya menyatakan bahawa mereka telah menyumbang RM10 juta dalam pembangunan tersebut melalui JVA itu. Bina Puri didakwa telah bersetuju untuk membayar sehingga RM26 juta sebagai pulangan pelaburan tersebut berserta faedah tahunan 8 peratus sekiranya berlaku kelewatan pembayaran.
Namun, Bina Puri menegaskan bahawa tiada perjanjian usaha sama yang sah dan boleh dikuatkuasakan antara mereka dengan Wisma Majujaya. “RM10 juta yang diberi oleh plaintif merupakan transaksi pinjaman wang tanpa lesen. Oleh itu, syarikat berpendapat adalah tidak wajar untuk mendedahkan butiran JVA tersebut atau membuat sebarang pengumuman berkaitan,” katanya.
Syarikat itu juga berkata bahawa JVA tersebut tidak mengandungi peruntukan berkaitan peranan dan tanggungjawab pihak-pihak terlibat, pemilikan ekuiti atau pembayaran progresif/berperingkat dalam pembangunan usaha sama yang didakwa itu.
“RM28.17 juta yang dituntut oleh plaintif sebahagian besarnya terdiri daripada caj faedah, selepas Bina Puri Properties membuat bayaran semula sebanyak RM7 juta,” tambahnya.
Dalam petisyen penggulungan itu, Majujaya menyatakan bahawa Bina Puri telah memfailkan rayuan terhadap penghakiman terus di Mahkamah Rayuan; dan juga telah memfailkan permohonan penangguhan pembayaran sehingga keputusan rayuan diperoleh.
Namun, Majujaya berkata bahawa permohonan penangguhan tersebut masih belum diputuskan dan tiada perintah penangguhan pelaksanaan terhadap penghakiman terus itu.
Majujaya menyatakan bahawa pada 11 Mac tahun ini, mereka telah menyerahkan notis tuntutan berkanun melalui peguam mereka, Tetuan Lim Chee Wee Partnership, kepada Bina Puri untuk membuat pembayaran dalam tempoh 21 hari dari tarikh notis tersebut.
Petisyen penggulungan itu menyatakan bahawa lebih daripada 21 hari telah berlalu sejak notis diserahkan namun Bina Puri masih “gagal, enggan dan/atau cuai untuk membayar jumlah tersebut atau membuat penyelesaian kepada kepuasan pihak pemohon (Majujaya).”
Pendengaran petisyen itu ditetapkan pada 14 Julai.
Berita pautan https://theedgemalaysia.com/node/751405
Deasoka