KOTA KINABALU: Kestabilan politik di Sabah terus menjadi keutamaan utama kepada kerajaan negeri, khususnya dalam persediaan menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga merangkap Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan, perbincangan bersama rakan komponen dalam gabungan kerajaan akan dilakukan dengan penuh ketelitian dan semangat kerjasama.
“Kita ada hubungan baik dengan Pakatan Harapan. Bila tiba masa yang sesuai, kita akan duduk berbincang dengan baik. Bagi saya, kestabilan politik adalah matlamat utama dan untuk capainya, setiap parti dalam gabungan perlu utamakan Sabah” katanya.
Jelasnya, setiap parti komponen dalam gabungan perlu bersedia untuk membuat pengorbanan demi menjamin kestabilan yang berterusan di negeri ini.
“Kita dah putuskan bahawa semua presiden parti komponen akan berbincang. Saya sendiri akan bincang juga. Memang ada cabaran, tapi boleh diatasi. Semua orang nak lebih kerusi… Tapi kita hanya ada 73. Yang penting, calon yang kita pilih adalah calon yang ada peluang terbaik untuk menang, ”katanya.
Masidi menegaskan, konsep keadilan dalam politik sukar ditentukan secara mutlak, namun apa yang lebih penting adalah memastikan kemenangan untuk menjamin kerajaan yang stabil dan berdaya tahan di negeri ini.
Deasoka