Program SYUKUR…Kita terus bantu rakyat: Hajiji

Program SYUKUR…Kita terus bantu rakyat: Hajiji

TUARAN: Kerajaan negeri akan melaksanakan satu lagi program baharu untuk membantu meringankan beban rakyat, pada tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri
Hajiji Noor.


Beliau berkata, inisiatif baharu ini adalah tambahan kepada beberapa program yang sudah dilaksanakan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR yang dilancarkan hari ini.


“Sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin dan peduli rakyat, terutama dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kita kena memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat di negeri ini.Program ini dijangka akan diumumkan pada tahun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar dan teratur selain mengikut kemampuan kewangan negeri.


“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet negeri sentiasa memikirkan usaha dan inisiatif yang boleh membantu rakyat terutama mereka yang miskin dan miskin tegar. Apabila semua perbincangan sudah selesai, kita akan umum kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian sempena Pelancaran SYUKUR 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di sini, pada Rabu.


“Program SYUKUR bertujuan meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga. Program ini menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025
dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan akan memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima.


“Bermula pada bulan Februari 2025, seramai 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024 telah menerima manfaat ini.


“Daripada jumlah itu, seramai 52,201 penerima telah menerima bayaran terus ke akaun bank bermula 17 Februari lalu manakala 19,857 lagi penerima yang tidak mempunyai akaun di bayar secara berperingkat sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama dibuat sehingga bulan Mac ini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|