Orientasi pelajar baharu UCSF dapat sambutan

Orientasi pelajar baharu UCSF dapat sambutan

KOTA KINABALU: Program Orientasi untuk pelajar baru (ambilan Februari 2025) University College Sabah Foundation (UCSF) telah berlangsung selama dua hari pada 10 dan 11 Februari 2025 bertempat di kampusnya di Sembulan.

Lebih 100 oran telah menyertai program itu yang merupakan program wajib dihadiri oleh pelajar yang mendaftar di UCSF.

Antara pengisian program kali ini adalah slot rutin seperti taklimat ringkas daripada beberapa jabatan seperti Jabatan Pendaftar, Pejabat Kewangan, Unit Wakaf dan Endowmen, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Akademik.

Menurut Pemangku Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UCSF, Mazlinah Binamin, program orientasi itu dikendalikan sepenuhnya oleh Student Representative Council (SRC) sesi 2024/25 yang diketuai oleh Presidennya, Dayangku Lailatul Norsa’adah dengan dibantu oleh fasilitator pelajar.

Katanya, pengisian lain ialah Ceramah Motivasi oleh Kaunselor UCSF, Puan Suhaifah Irna dan Ceramah Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Pelajar IPT oleh Inspektor D11 Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Inspektor Florence Ansikit.

Menurutnya, program dua hari ini turut diselitkan juga dengan pelbagai aktiviti permainan, sukan dan rekreasi yang bertujuan membantu proses transisi pelajar ke peringkat universiti serta memberi pendedahan dan sekaligus membina hubungan baik di antara pelajar sedia ada dengan pelajar baharu.

Beliau berkata, program berakhir ialah bacaan ikrar oleh pelajar baru, penyampaian hadiah dan sesi bergambar semasa majlis penutupan yang disempurnakan oleh Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris.

Pemangku Pendaftar UCSF, Puan Norasyiqin Ahmad berkata, Pejabat Pendaftar bersedia membantu pelajar baru dalam semua urusan akademik dan pentadbiran, bagi memastikan perjalanan akademik yang lancar dan bermakna di UCSF.

Sementara itu, Datuk Dr Rafiq dalam ucapannya,  mengingatkan pelajar baru,  selain mempelajari perkara yang dikongsikan di dalam kuliah-kuliah dan aktiviti universiti, mereka digalakkan turut berusaha sendiri dalam mempertajamkan “soft skills” serta kemahiran tambahan agar lebih berdaya saing apabila masuk ke pasaran kerja kelak.

Beliau turut menekankan kelebihan penguasaan serta berkomunikasi dalam pelbagai bahasa sebagai tambahan kepada bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda, seperti bahasa Mandarin, Korea, Arab dan lain-lain.

Turut hadir pada Majlis Penutupan Program Orientasi ialah Dekan-Dekan Fakulti, Timbalan Dekan, Ketua-Ketua Jabatan dan kakitangan UCSF.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|