Kerajaan teguh perkasa perkhidmatan awam, pembangunan rakyat

Kerajaan teguh perkasa perkhidmatan awam, pembangunan rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen teguh untuk terus memperkasa penyampaian perkhidmatan awam serta memperluas manfaat pembangunan kepada seluruh rakyat melalui pendekatan Malaysia MADANI, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Beliau menegaskan bahawa penjawat awam merupakan tulang belakang kepada kejayaan pembangunan negeri dan pelaksanaan dasar kerajaan, justeru peranan mereka perlu sentiasa disulam dengan integriti, kecekapan, dan semangat tanggungjawab tinggi.


“Rakyat sedang memerhati. Tingkah laku, tutur kata dan layanan kita kepada rakyat mencerminkan sistem penyampaian kerajaan hari ini.


“Justeru, penjawat awam harus menjiwai prinsip-prinsip MADANI – Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan – bukan sekadar sebagai slogan, tetapi dalam akhlak dan budaya kerja,” katanya dalam Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.


Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang menyampaikan amanat kepada warga perkhidmatan awam Sabah sebagai sebahagian daripada program nasional Jelajah Taat Setia MADANI.


Menurut Hajiji, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah membuahkan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat Sabah, termasuk Program Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah yang menarik hampir 485,000 pengunjung.


Pembentukan 219 Komuniti Madani Sabah dengan peruntukan RM657,000, Inisiatif Ehsan@KUSKOP di tiga daerah sasaran iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat selain pelbagai wacana dan forum pendidikan untuk memperluas pemahaman Malaysia MADANI.


Di peringkat negeri, Hajiji menegaskan kerajaan terus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, khususnya kepada golongan B40 dan pelajar, antaranya ialah Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Komputer (BAIK), dan subsidi penerbangan (GRSSUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung dan Sarawak.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|