UCSF perlu sentiasa beri nilai tambah program pengajian

UCSF perlu sentiasa beri nilai tambah program pengajian

KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) perlu sentiasa menambahbaik dan memberi nilai tambah dalam lebih 10 program pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan kepada pelajar, bagi memenuhi kehendak pasaran, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, antara yang wajar diberi perhatian ialah pengukuhan program akademik Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) dan juga pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal & Latihan (TVET) bagi memenuhi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa juga usaha pembangunan UCSF dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan institusi, melahirkan modal insan yang berkemahiran, berkualiti dan menggerakkan transformasi pendidikan di negeri ini.

“Pendidikan merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya”.

“Justeru itu, UCSF telah mengambil langkah yang proaktif mewujudkan entiti baharu antaranya Centre for Development Studies (CDS), Science, Technology and Innovation Centre (STIC), Pusat Keusahawanan UCSF dan beberapa penyelidikan yang sedang berjalan di universiti ini. Saya berharap semua yang dilaksanakan ini akan mencapai matlamat yang dihasratkan dan memberi manfaat kepada pemegang taruh”, katanya pada Konvokesyen Ke-3 UCSF di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

Hajiji berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi tidak berbelah bahagi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur untuk datang ke negeri ini.

“Kita juga meneroka sumber-sumber ekonomi baharu termasuk Ekonomi Biru yang bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Fokus kita pada masa ini ialah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri, serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan”, tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|