Kerajaan laksana program sejahterakan ekonomi belia: Hajiji

Kerajaan laksana program sejahterakan ekonomi belia: Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada kesejahteraan ekonomi belia, termasuk latihan dan kursus kemahiran untuk memperkasa golongan itu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, agenda pembangunan modal insan khususnya golongan muda dan belia akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berminda kelas pertama.

Sehubungan itu beliau mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama dalam usaha memperkasakan belia Sabah.

“Semua pihak baik kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat perlu berganding bahu untuk mencipta peluang dan menyediakan sokongan yang diperlukan oleh belia”, katanya pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah, Sidang II, Penggal Ke-34, Tahun 2022-2024 di Grand Ballroom Shangri-La Tanjung Aru pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.

Hajiji berkata, belia adalah generasi masa depan yang akan meneruskan legasi pembangunan negeri, agen perubahan, inovator, dan pemimpin masa hadapan.

“Adalah penting untuk kita memberikan mereka platform yang sesuai untuk berkembang dan memberi sumbangan. Dengan sokongan yang tepat, belia dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya negeri kita”, katanya.

Menurutnya, Sabah telah mengalami pelbagai pencapaian dalam pembangunan belia.

Program latihan kemahiran, inisiatif keusahawanan, dan aktiviti sosial telah memberikan impak positif kepada ramai belia negeri ini.

Namun katanya, antara cabaran yang wujud termasuklah kekurangan peluang pekerjaan, isu pendidikan, dan kekurangan infrastruktur yang menyokong perkembangan belia, yang kini giat ditangani oleh kerajaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|