Tolak laksana JKDM di Sabah: Jeffrey Kitingan

Tolak laksana JKDM di Sabah: Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri mengambil pendirian menolak pelaksanaan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Kabinet Negeri telah menbincangkan tentang JKDM secara informal dan ia akan secara formal menolak pelaksanaannya di Sabah.Katanya, Kerajaan negeri akan menyampaikan pendiriannya terhadap isu ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau tiba di Sabah untuk merasmikan penutupan Pesta Kaamatan 2024 pada 31 Mei.

“Kerajaan Negeri telah membincangkan tentang JKDM secara informal. Saya sendiri sebagai wakil Kerajaan Negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia (MA63) telahpun meminta supaya ini tidak dilaksanakan di Sabah, kerana ia tidak dilaksanakan di Sarawak. Biarlah ini hanya dilaksanakan di Semenanjung.

“Sebab di Sabah, kita sudah ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kita sendiri, takkan kita mahu tubuh satu lagi kerana nanti ia bukan hanya akan mengelirukan rakyat tetapi juga memecah belahkan masyarakat kita,” katanya di sini hari ini.

Jeffrey berkata, ketika ini masyarakat di Sabah sekarang hidup dalam keadaan aman dan harmoni sekali gus Kerajaan Negeri menolak secara formal.

“Kita juga akan menyampaikan pendirian Kerajaan Negeri terhadap isu ini apabila Perdana Menteri datang ke Sabah pada 31 Mei,” jelas Jeffrey.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|