Tindakan serius atasi isu pokok tumbang: DBKK

Tindakan serius atasi isu pokok tumbang: DBKK

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan serius dalam meningkatkan tahap dan kualiti pengurusan pokok-pokok matang di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Berikutan cuaca hujan lebat dan angin kencang yang sering melanda Kota Kinabalu mutakhir ini, DBKK melalui Jabatan Landskap akan menggandakan tindakan pemeriksaan dan penyelenggaraan rapi ke atas pokok-pokok matang mengikut jadual dan akan dilaksanakan secara bulanan.

Menurut kenyataan akhbar DBKK hari ini, kerja-kerja pemangkasan dahan pokok juga akan dilakukan dari semasa ke semasa selain meneliti tahap kesihatan pokok bagi mengenal pasti risiko pokok tumbang.

DBKK melalui Jabatan Landskap akan menggandakan tindakan pemeriksaan kesihatan pokok dan penyelenggaraan pokok secara menyeluruh.

“Kerja-kerja pemangkasan pokok dibuat mengikut jadual di semua kawasan, tetapi tumpuan akan diberikan pada pokok- pokok matang di kawasan jalan-jalan utama.

“Penjagaan dan pemantauan kesihatan pokok yang efektif serta penyelenggaraan pokok yang rapi mengikut amalan arborikultur yang betul adalah sangat penting untuk dilaksanakan bagi mengelak berlakunya kes pokok tumbang sehingga mengakibatkan korban nyawa dan kerosakan harta awam,” katanya.

Untuk rekod, sehingga kini, sebanyak 18,756 pokok matang atau pokok yang berusia berada di bawah seliaan DBKK dan kesemuanya akan terus dipantau dengan lebih teliti mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Selain daripada itu, DBKK juga telah merangka Pelan Pengurusan Pokok Matang yang komprehensif.

Pelan tersebut merangkumi pelan mitigasi pokok dan beberapa pelan tindakan lain yang menyeluruh yang akan segera dilaksanakan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|