Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menahan sembilan kontena berisi daging ayam sejuk beku bernilai lebih RM2.7 juta dalam satu serbuan di kawasan pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, hasil siasatan mendapati kesemua kontena berkenaan cuba diseludup masuk ke dalam negara ini.
“Bertindak atas maklumat diterima, pada 7 Mei lalu, sepasukan anggota daripada Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah membuat pemeriksaan ke atas 14 buah kontena sejuk beku di Pelabuhan Sepanggar.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sembilan buah kontena yang mengandungi daging ayam sejuk beku mempunyai pengikraran berbeza yang dilakukan manifes dan difahamkan palsu dengan tujuan penyeludupan, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Kastam Sabah, Kota Kinabalu, pada Selasa.
Mengulas lanjut, anggaran jumlah duti dan cukai telribat adalah sebanyak RM550,000.
“Modus operandi dalam kes ini adalah membuat pengikraran palsu dalam manifes di mana dagangan yang dikirar sebagai sayur-sayuran seperti ubi kentang dan kacang pis hijau.
“Pengikraran palsu ini kita kenalpasti adalah bagi tujuan penyeludupan dan mengaburi mata pihak berkuasa, ” katanya.
Jelas Mohd Nasir, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 52 dan 134 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Deasoka