Tangani insiden KK Mart dilempar bom petrol dengan tegas: Pemuda UPKO

Tangani insiden KK Mart dilempar bom petrol dengan tegas: Pemuda UPKO

Kota Kinabalu: Insiden bom petrol di KK Mart, Bidor, Perak, dibimbangi akan berlarutan sekiranya tidak ditangani secara serius dan tegas oleh pihak berkuasa.

Ketua Pemuda Upko Malaysia, Felix Joseph Saang berkata, kejadian yang amat mengecewakan dan mengejutkan itu mungkin akan berlarutan sekiranya tidak ditangani sebaiknya.

Katanya, insiden kali ini mungkin hanya melibatkan kerugian kecil tetapi bagaimana jika ia melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa pekerja di premis berkenaan.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertindak ganas seperti apa yang berlaku di Perak.

“Siasatan perlu dilakukan bagi memastikan pelaku insiden ini dapat dapat dikenalpasti dan dikenakan tindakan setimpal agar ia tidak berulang lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Felix berkata, Pemuda Upko juga bimbang kejadian itu mungkin menjadi kepada bibit permulaan kepada insiden lain sehingga boleh mengugat keamanan negara.

Katanya, beliau percaya mungkin ada pihak-pihak tertentu yang sengaja menjadikan isu ‘stokin’ ini sebagai kepentingan politik.

“Tidak dinafikan, kesilapan telah berlaku dan pihak KK Mart bukan saja sudah memohon maaf secara terbuka, malah pemilik syarikat juga sudah dituduh di mahkamah.

“Maka pemimpin-pemimpin parti politik juga harus berhenti memainkan isu ini kerana ia hanya akan merugikan negara.

“Ketika ini negara masih berdepan banyak lagi permasalahan lain termasuk isu ekonomi dan kos sara hidup. Ia hanya akan menjejaskan negara termasuk pandangan pelabur luar kepada negara,” katanya.

Felix berkata, Pemuda Upko yakin dan percaya seluruh rakyat Malaysia mencintakan keamanan, keharmonian serta sikap saling hormat-menghormati walaupun berlainan agama dan kaum.

“Oleh itu, hentikanlah, jangan jadikan isu stokin sebagai bahan politik yang boleh memudaratkan negara. Cukup-cukup lah. ‘Enough is enough’,” tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|