KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sabah atas pemberian subisidi tiket penerbangan ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Semenanjung, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan menjelaskan keputusan yang dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu bertepatan dengan keperluan golongan mahasiswa daripada negeri berkenaan yang rata-rata datang dari keluarga kurang berkemampuan.
“MBS sebelum ini turut terkesan dengan keluhan para pelajar IPT daripada Sabah yang tidak mampu pulang ke kampung halaman terutama sekali sewaktu musim perayaan.
“Pengumuman yang dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merupakan berita baik kepada anak-anak Sabah yang rata-rata datang daripada keluarga kurang berkemampuan”, Abqaree berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abqaree pada masa sama turut menyeru kerajaan negeri agar terus komited menyantuni keperluan belia di negeri itu selain memuji langkah terdahulu yang telah diambil oleh kerajaan seperti Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS), dan Program Dewan Belia Sabah yang telah membawa impak signifikan terhadap pembangunan 2.4 juta belia di negeri tersebut.
“MBS berharap agar kerajaan negeri terus komited menyantuni aspirasi dan keperluan belia di negeri ini demi masa depan Sabah yang lebih baik.
“Langkah terdahulu yang telah diambil oleh kerajaan seperti Progam SYABAS dan Dewan Belia Sabah telah memberi impak yang besar kepada pembangunan belia di negeri ini”, Abqaree menambah.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sewaktu majlis berbuka puasa bersama lebih 1,000 orang pelajar IPT Sabah di Pulau Pinang mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan secara ‘one-off’ bagi pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di Semenanjung, Sarawak, dan W.P Labuan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM10 juta.